Dua bot tunda asing ditahan, muatan minyak tanpa dokumen dirampas

Dua bot tunda asing ditahan, muatan minyak tanpa dokumen dirampas

KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan kegiatan membawa dan menyimpan minyak tanpa dokumen sah membabitkan dua bot tunda asing dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM19.55 juta di Tanjung Bulat, Isnin lalu.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan hasil risikan dan pemantauan berterusan pasukan Maritim Malaysia terhadap pergerakan mencurigakan di laluan strategik perairan negara.

Katanya, bot tunda pertama ditahan pada pukul 10.50 malam pada kedudukan 1.5 batu nautika tenggara Tanjung Bulat manakala sebuah lagi ditahan kira-kira 40 minit kemudian di lokasi 3.0 batu nautika tenggara kawasan sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot tunda itu berdaftar di Tanzania dan dikendalikan 10 kru warga Indonesia berusia antara 26 hingga 54 tahun.

“Kapal itu gagal melaporkan ketibaan ketika memasuki perairan negara sekali gus melanggar Kaedah 10 Peraturan-Peraturan Pelabuhan 1954,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut menemukan muatan minyak tanpa dokumen sah, dipercayai sejenis Marine Gas Oil (MGO) selain penggunaan tangki air kapal yang telah diubah suai sebagai tangki simpanan minyak tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 manakala kesemua kru ditahan mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/1963 bagi membantu siasatan lanjut. – UTUSAN

Scroll to Top