PASIR GUDANG: Dua orang kanak-kanak berusia 11 tahun dikhuatiri lemas di kawasan empangan berhampiran Jalan Murai 2, Taman Scientex, di sini selepas dilaporkan hilang sejak petang tadi.
Kehilangan kedua-dua mangsa disedari keluarga susulan penemuan sebuah basikal dan selipar milik mereka yang ditinggalkan berhampiran kawasan empangan berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.36 malam.
Beliau berkata, seramai empat anggota bersama sebuah jentera dari BBP Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian pada pukul 10.49 malam, bapa mangsa memaklumkan bahawa kedua-dua kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah sejak petang.
“Bapa mangsa khuatir anak-anak mereka telah lemas berikutan penemuan basikal dan selipar milik mangsa di tepi kawasan ampangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Haizrul, susulan maklumat berkenaan, PKO bertindak melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan empangan terbabit secara serta-merta.
Sehingga kini, operasi SAR masih giat dijalankan di lokasi kejadian dan status kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan.-UTUSAN.
