Pimpinan UMNO diundang ke Muktamar Pas September ini

KOTA BHARU: Pimpinan tertinggi UMNO akan diundang ke Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-72 yang berlansung di negeri ini bermula 2 hingga 5 September ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas mempengerusikan Mesyuarat Panatia Induk Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini sebentar tadi.

Takiyuddin bagaimanapun berkata, surat jemputan kepada UMNO masih belum dihantar kerana masih berbaki 20 hari sebelum majlis tersebut berlangsung.

Katanya, keputusan menjemput UMNO itu dipersetujui dalam mesyuarat Pas memandangkan parti itu sudah menjadi sebahagian daripada kerjasama politik.

“Sama ada UMNO nak hantar Presiden, Timbalan, Naib, Setiausaha Agung atau siapa, terpulang kepada parti itu.

“Selain itu, pimpinan pergerakan sayap UMNO turut akan dijemput persidangan dewan termasuk pemuda,” katanya.

Mengulas lanjut, Takiyuddin memberitahu, selain UMNO, pimpinan parti-parti politik khususnya dalam Perikatan Nasional (PN) serta ahli Parlimen turut akan dijemput menghadiri muktamar berkenaan.-UTUSAN

Scroll to Top