MELAKA: Cubaan menyeludup tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang menggunakan dron berjaya dipatahkan polis selepas menahan dua individu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kris Satria, Sungai Udang, Rabu lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun serta merampas sebuah dron, bahan yang dipercayai hendak diseludup, peranti komunikasi dan beberapa barangan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung cubaan menyeludup barang larangan ke penjara berkenaan pada pukul 3.10 petang, 15 Julai lalu.
Menurutnya, susulan maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka dengan kerjasama Balai Polis Sungai Udang melancarkan serbuan ke rumah berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan.
“Siasatan turut mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang,” katanya dalam kenyataan.
Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, bagaimanapun, semakan rekod jenayah mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah lampau serta tiga rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Dzulkhairi berkata, polis memandang serius penyalahgunaan dron bagi tujuan jenayah, khususnya cubaan menyeludup barang larangan ke institusi penjara dan tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak yang terlibat. Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Hotline Polis Melaka di talian 06-285 1999. – UTUSAN




