Dua gol Marmoush kecewakan Newcastle

Dua gol Marmoush kecewakan Newcastle

Newcastle: Dua jaringan Omar Marmoush membantu Manchester City bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Newcastle United 3-1, awal pagi tadi, sekali gus mara ke suku akhir Piala FA buat musim kelapan berturut-turut.

Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Pep Guardiola terus berada di landasan untuk memburu penampilan ke final Piala FA buat kali keempat berturut-turut, selain mengekalkan peluang memburu empat trofi semusim iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara, Piala Liga dan Piala FA.

“Ini persembahan terbaik kami di stadium ini sepanjang sedekad saya di sini. Inilah konsistensi dan sebab saya bangga dengan pasukan ini,” kata Guardiola kepada TNT Sports.

Newcastle memulakan perlawanan dengan baik apabila Harvey Barnes menyambut lorongan cantik sebelum melepaskan rembatan ke penjuru gol pada minit ke-18 untuk meletakkan tuan rumah di depan.

City yang sudah tujuh kali menjuarai Piala FA kemudian mula menguasai permainan dan menyamakan kedudukan pada minit ke-39 menerusi jaringan Savinho.

Gol itu hadir dalam situasi unik apabila hantaran Jeremy Doku melepasi benteng pertahanan sebelum bola mengenai kaki Savinho dan melantun masuk ke dalam gawang.

Marmoush menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-47 selepas Matheus Nunes menghantar bola leret ke hadapan gawang sebelum penyerang Mesir itu meledak rembatan ke bumbung jaring.

Dia melengkapkan jaringan kedua pada minit ke-65 dengan cara hampir sama apabila menyambut hantaran lintang Nunes sebelum merembat kencang.

Peluang buatnya melakar hatrik tidak kesampaian apabila Guardiola mengeluarkan Marmoush tidak lama kemudian digantikan oleh Antoine Semenyo.

Guardiola yang kelihatan begitu beremosi sepanjang perlawanan memeluk Marmoush dengan erat ketika pemain itu menuju ke bangku simpanan.

“Ia persembahan yang baik walaupun kami tidak bermula dengan begitu baik.

“Kami bolos awal tetapi menunjukkan mentaliti dan semangat di atas padang. Kami sangat gembira dapat mara ke pusingan seterusnya,” kata Marmoush.

Guardiola melakukan 10 perubahan dalam kesebelasan utama bagi aksi pusingan kelima itu berbanding pasukan yang seri 2-2 dengan Nottingham Forest.

Penyerang utama City dalam saingan liga, Erling Haaland, tidak disenaraikan dalam skuad ketika pasukan bersiap menghadapi jadual padat termasuk aksi pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid, Khamis ini.

Pengurus Newcastle, Eddie Howe, mengakui pemainnya mungkin kehabisan tenaga.

“Mungkin kami kehabisan tenaga, terutamanya pada babak kedua dan juga penghujung separuh masa pertama.

“Mereka benar-benar menekan kami. Perlu diakui mereka adalah pasukan yang sangat bagus,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top