Dua gol Ronaldo bawa Portugal ke suku akhir

Dua gol Ronaldo bawa Portugal ke suku akhir

Paris: Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Portugal membelasah Poland 5-1 dengan persembahan hebat pada separuh masa kedua untuk mara ke suku akhir Liga Negara-Negara.

Pasukan Portugal di bawah kendalian Roberto Martinez menamatkan saingan di tangga teratas Kumpulan A1 dengan berbaki satu perlawanan, mengesahkan tempat mereka ke pusingan seterusnya pada Mac depan.

Perancis, Jerman, dan Itali juga sudah mengesahkan tempat ke suku akhir.

Poland menunjukkan prestasi yang lebih baik pada awal perlawanan tetapi gagal memanfaatkan peluang yang ada di Porto, dan tuan rumah membuat mereka membayar harga mahal dengan menjaringkan empat gol dalam 20 minit terakhir.

“Kami gagal menguasai permainan pada separuh masa pertama,” kata penyerang Portugal, Rafael Leao.

“Pendekatan (jurulatih) Martínez di bilik persalinan adalah penting; ia adalah kunci untuk mengubah tekanan pada separuh masa pertama.”

Ronaldo hampir menjaringkan gol sebelum rehat tetapi percubaannya dari jarak dekat melepasi palang gol, tatkala Portugal gagal melepaskan sebarang percubaan tepat pada separuh masa pertama.

Dominik Marczuk hampir membuka jaringan pada minit ke-58, tetapi penjaga gol Portugal, Diogo Costa, menghasilkan satu penyelamatan luar biasa dengan hujung jari untuk menafikan percubaannya.

Tuan rumah memanfaatkan sepakan sudut untuk menjaringkan gol kurang dari 60 saat kemudian, apabila Leao meluru ke hadapan sebelum memberikan bola kepada Nuno Mendes, kemudian menyambung larian untuk menanduk masuk hantaran silang dari pertahanan kiri Paris Saint Germain itu.

Portugal dianugerahkan sepakan penalti selepas rembatan Diogo Dalot mengenai tangan Jakub Kiwior dari jarak dekat dan diselamatkan oleh Marcin Bulka.

Ronaldo mengambil sepakan penalti dan melakukan teknik ‘Panenka’ untuk menjaringkan gol.

Gol itu menamatkan sebarang harapan Poland untuk bangkit dan Bruno Fernandes menambah gol ketiga buat Portugal ketika aksi berbaki 10 minit, melepaskan rembatan padu yang terkena palang gol dari luar kotak penalti.

Pedro Neto turut menjaringkan gol, menerima hantaran Ronaldo dan melepaskan rembatan ke arah tiang sebelah kiri.

Masih ada masa untuk Ronaldo menambah gol keduanya dan memperbaiki rekod gol antarabangsa kepada 135 jaringan, dengan satu sepakan akrobatik hasil hantaran Vitinha dari jarak dekat pada minit ke-87.

Marczuk menjaringkan gol sagu hati buat Poland, tetapi mereka tidak lagi mampu untuk layak ke pusingan kalah mati dan akan tergelincir ke liga kedua jika tewas kepada Scotland minggu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top