Dua individu yang disaman Siti Nordiana mohon bicara dipindah ke Mahkamah Tinggi – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Dua daripada lima individu yang disaman oleh penyanyi Siti Nordiana Alias atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram, mengemukakan permohonan agar perbicaraan yang sedang didengar di Mahkamah Sesyen di sini, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Saman pemula itu difailkan oleh Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 43, (defendan keempat) serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42, (defendan kelima).

Saman pemula itu yang difailkan pada 16 Disember lalu antara lain menyertakan alasan jumlah keseluruhan tuntutan plaintif (Siti Nordiana) terhadap defendan-defendan adalah sebanyak RM2.5 juta dan nilai itu melebihi bidang kuasa Mahkamah Sesyen.

Peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana memberitahu pihak media, permohonan untuk memindahkan kes akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz secara dalam talian pada Isnin ini.

Menurut Abang Azlan, semalam ditetapkan untuk pendengaran permohonan interim kedua-duanya untuk menangguhkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, peguam bela memaklumkan, permohonan penangguhan itu telah menjadi akademik dan menetapkan Isnin ini bagi mendengar permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi.

Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana, 37, memfailkan saman RM2.5 juta terhadap kedua-duanya serta tiga yang lain atas dakwaan memfitnah beliau di platform Instagram.

Tiga defendan lain ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 36, dan isterinya Nur Sheila Hassim, 36, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 35.

Pada perbicaraan lalu, Hakim Zulqarnain Hassan menetapkan perbicaraan disambung selama sembilan hari bermula 4 Januari ini.

Tarikh-tarikh lain ialah 7, 11, 17, 19, 20 dan 28 Januari serta 3 dan 4 Februari.

Perbicaraan setakat ini telah berlangsung selama dua hari dengan mendengar keterangan Siti Nordiana melalui sesi pemeriksaan balas. 

Ketika perbicaraan yang berlangsung pada 20 Oktober lalu, Siti Nordiana antara lain mendakwa beliau difitnah dalam laman Instagram menyebabkannya digambarkan sebagai individu  bermoral rendah sehingga mengundang kecaman dan sindiran warganet.

Menurut Siti Nordiana pernyataan fitnah lima defendan ketika bersiaran secara langsung dalam Instagram turut menyebabkan beliau digambarkan sebagai individu yang berkira berkaitan isu wang dan makanan sedangkan beliau tidak begitu.