
Pesawat pejuang F-15 milik Tentera Udara Israel berlepas di Pangkalan Udara Tel Nof pada 1 Januari 2024. Foto Agensi
TEL AVIV – Dua juruteknik Tentera Udara Israel dilaporkan akan didakwa atas tuduhan mengintip untuk Iran selepas disyaki membocorkan maklumat sensitif berkaitan operasi ketenteraan negara itu.
Menurut laporan penyiar awam Israel, KAN News, kedua-dua individu tersebut bertugas di Pangkalan Udara Tel Nof berhampiran Ashdod dan terlibat dalam operasi dikenali sebagai ‘Operation Roaring Lion’.
Mereka yang mengendalikan pesawat pejuang F-15 didakwa menyerahkan dokumen berkaitan rajah enjin pesawat serta gambar seorang jurulatih penerbangan, yang melanggar peraturan penapisan ketenteraan.
Selain itu, suspek turut dikatakan diminta mengumpul maklumat mengenai bekas Ketua Turus Tentera Israel, Herzi Halevi, serta Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir.
Pihak berkuasa kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk menaikkan pertuduhan terhadap salah seorang suspek kepada kesalahan pengkhianatan, yang membawa hukuman lebih berat berbanding kesalahan mengintip.
Dalam masa sama, lapan lagi anggota tentera di pangkalan tersebut turut disyaki mengetahui kegiatan berkenaan namun gagal melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Susulan insiden itu, agensi keselamatan Israel, Shin Bet, telah memanggil komander Pangkalan Udara Tel Nof bagi memberikan penjelasan lanjut, sebelum satu taklimat keselamatan diadakan kepada anggota terlibat.
Kes ini menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan dalaman ketenteraan Israel, khususnya dalam konteks ketegangan berterusan antara negara itu dan Iran.- Agensi



