
MSN turut menasihati orang awam supaya menyemak kesahihan maklumat berkaitan agensi dan tidak membuat sebarang pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa mewakili MSN tanpa pengesahan melalui saluran rasmi.
KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) menafikan Ketua Pengarahnya, Jefri Ngadirin terlibat dengan sebuah akademi badminton yang didakwa menawarkan penyertaan program dan meminta bayaran dalam jumlah yang besar.
Menerusi kenyataan pada Khamis, MSN memaklumkan nama dan gambar Jefri telah disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan beliau dengan program atau aktiviti itu sedangkan pihaknya dan Jefri tidak mempunyai sebarang kaitan, penglibatan atau hubungan dengan pihak berkenaan.
“MSN tidak pernah melantik, memberi kebenaran atau mengiktiraf mana-mana individu atau kumpulan untuk menggunakan nama, identiti atau imej MSN bagi tujuan kutipan bayaran untuk sebarang aktiviti sukan.
“MSN memandang serius penyalahgunaan ini dan satu laporan telahpun dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan,” menurut kenyataan itu.
MSN memaklumkan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti penipuan tersebut bagi melindungi kepentingan dan reputasi MSN.
Dalam pada itu, MSN turut menasihati orang awam supaya menyemak kesahihan maklumat berkaitan agensi dan tidak membuat sebarang pembayaran kepada mana-mana pihak yang mendakwa mewakili MSN tanpa pengesahan melalui saluran rasmi.
“Mana-mana individu yang telah menjadi mangsa penipuan seumpama itu diminta segera membuat laporan polis serta menghubungi institusi kewangan masing-masing bagi tindakan lanjut.
“MSN akan terus mengambil langkah proaktif bagi membendung aktiviti seumpama ini serta melindungi kepentingan orang awam dan reputasi organisasi,” menurut kenyataan itu.- Bernama



