JERANTUT: Penduduk dan pelancong yang sedang berehat di sebuah restoran terapung gempar apabila melihat dua buah kereta hampir tenggelam dan nyaris dihanyutkan arus deras Sungai Tembeling berikutan air naik secara mendadak di jeti Kampung Kuala Tahan di sini malam tadi.
Pemandu pelancong, Roslan Abu Kassim, 56, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, pengunjung yang sedang berehat dan minum di sebuah restoran terapung dikejutkan laungan seorang penduduk tentang kereta yang mula tenggelam dan hampir hanyut.
“Kami tidak menyangka air Sungai Tembeling naik mendadak dan arus deras sehingga menyebabkan dua buah kereta sewa pelancong ‘Mat Saleh’ hampir tenggelam sedalam 0.3 meter dan kemungkinan hanyut jika lewat diselamatkan.
“Beberapa orang penduduk membantu menolak kenderaan berkenaan ke kawasan cetek sebelum penyewa kereta itu sampai untuk memindahkannya ke kawasan parkir yang selamat pada pukul 3 pagi,” katanya ketika ditemui di Kuala Tahan di sini hari ini.
Menurut Roslan, ekoran kejadian itu, beberapa orang penduduk cuba mengesan pemilik kenderaan sewa itu yang menginap di sebuah resort seberang Sungai Tembeling untuk mengalih kenderaan berkenaan.
“Mujurlah pemilik kereta sewa berkenaan cepat dikesan dan segera diberitahu untuk mengalihkan ke tempat selamat memandangkan air Sungai Tembeling semakin naik berikutan hujan lebat di Ulu Tembeling sejak kelmarin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Mohd. Azahari Mukhtar mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan dua buah kenderaan berjaya dialihkan tanpa berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Kenderaan terlibat sebuah Proton Saga dan sebuah Honda. Dengan bantuan pemilik resort, pemilik kenderaan berjaya dikesan dan tindakan segera diambil untuk dialihkan ke kawasan selamat,” katanya. – UTUSAN




