bhnews@bh.com.my
LANGKAWI: Dua khemah di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Ayer Hangat di sini, rosak selepas kawasan itu dipukul ribut, jam 5.30 petang tadi.
Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mansor Ismail, berkata keseluruhannya pusat itu ada 10 khemah bagi operasi pemberian vaksin COVID-19. Angin kencang menyebabkan dua khemah terangkat sehingga kaki khemah patah.
“Ketika kejadian ada enam kakitangan yang sedang berkemas untuk pulang selepas operasi suntikan vaksin hari ini selesai,” katanya ketika dihubungi di sini.
Dr Mansor berkata, kejadian ribut itu berlaku kira-kira 15 minit. Syukur kerana kejadian berlaku ketika operasi pemberian vaksin sudah selesai dan orang ramai sudah pulang, jadi tiada kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Khemah yang senget akan diperbaiki Jabatan Kerja Raya (JKR) dan diyakini PPV dapat beroperasi semula pada Ahad ini, selepas cuti hujung minggu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




