Dua pemain negara bantu Selangor sapu dua emas Sukma

Dua pemain negara bantu Selangor sapu dua emas Sukma

Selangor berjaya menyapu bersih dua pingat emas bola tampar pantai pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022, pada Khamis.

STRATEGI Selangor menurunkan dua pemain kebangsaan, Khairol Shazrime Shamsaimon dan Maegan Beh Jia Yin, ternyata menjadi selepas pasukan itu berjaya menyapu bersih dua pingat emas bola tampar pantai pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022, pada Khamis.

Khairol bersama Muhammad Fahmi Madzlan yang bermain bagi pasukan Selangor A membawa pulang emas kategori lelaki selepas menumpaskan Wilayah Persekutuan A diwakili Al Rashid Kungroy-Ridzwan Rahman 21-16, 21-16 di Gelanggang Bola Tampar Pantai Seksyen 19, di sini.

Maegan yang beraksi dalam kategori wanita bersama Sin Sing Yee mewakili Selangor A, menundukkan Pulau Pinang A dibarisi Mashitah Muhamad Nasir-Noor Aishah Iskandar, 21-14, 21-17.

Biarpun pulang dengan tangan kosong ketika mewakili negara pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, Mei lepas, Khairol berkata, pengalaman ditimba pada temasya dwitahunan itu benar-benar membantunya untuk menaiki podium tertinggi di pentas Sukma kali ini.

“Pengalaman di Hanoi tempoh hari banyak bantu saya atasi perasaan gugup di atas gelanggang. Rakan saya pun tak rasa gementar, ikut strategi jurulatih dan lakukan yang terbaik sahaja hari ini,” katanya ketika ditemui Bernama selepas upacara penyampaian pingat.

Atlet berusia 21 tahun itu pada masa sama mendedikasikan pingat sulung dimenanginya di Sukma kepada keluarga terutama bapa, Shamsaimon Mohd Sharit, 57 dan ibu, Azlina Mat Raji, 47, yang sentiasa hadir ke venue pertandingan termasuk Sukan SEA 2021.

Sementara itu, Maegan mengambil risiko dengan tidak mengikut nasihat doktor untuk bermain di Sukma selepas mengalami kecederaan buku lali kanan dalam sesi latihan bulan lepas.

“Saya mengambil risiko dan ia berbaloi,” katanya yang juga pernah beraksi di Sukan SEA 2021 bersama Farwizah Aina Ahmad Nizar.

Pelajar kolej swasta berusia 18 tahun itu memaklumkan akan berehat selama tiga bulan susulan kecederaan dialaminya. – Bernama