am@hmetro.com.my
Padang Besar: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) membongkar amalan khurafat membabitkan tindakan menanam objek mencurigakan di Guar Panji, Beseri pada Khamis lalu.
Dalam hantaran di Facebook, kejadian disedari pada 31 Julai lalu selepas JAIPs menerima satu aduan berkaitan perbuatan syirik itu di kawasan Tanah Perkuburan Islam Guar Panji.
Jurucakap JAIPs berkata, perbuatan berkenaan dipercayai untuk tujuan mistik dan bertentangan dengan syarak.
“Sehubungan itu, bertindak atas aduan berkenaan, JAIPs dengan kerjasama polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar kemudian melakukan siasatan dan pemantauan ke lokasi kejadian.
“Hasil pemerhatian mendapati terdapat bukti fizikal yang menguatkan dakwaan berlakunya perbuatan khurafat di kawasan itu,” katanya.
Bahan yang ditemui di kawasan perkuburan itu adalah dua objek bulat dipercayai telur yang tertulis nama seseorang serta satu lagi objek yang menyerupai tulang temulang.
Katanya, JAIPs kemudian menjemput seorang pengamal perubatan Islam, Ustaz Muhammad Munir Zakaria untuk membantu proses pembersihan dan penghapusan unsur khurafat di lokasi berkenaan.
“Tindakan ini diambil bagi memastikan tanah perkuburan terus dihormati sebagai tempat suci umat Islam serta bebas daripada unsur syirik dan khurafat.
“JAIPs menegaskan bahawa sebarang bentuk amalan bertentangan dengan akidah Islam adalah dilarang dan orang ramai diseru untuk melaporkan segera sebarang kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan kesucian agama Islam di negeri ini.
“Kita turut menyeru pihak Jawatankuasa Kariah agar sentiasa memainkan peranan aktif dalam memantau dan memelihara kesucian tanah perkuburan di bawah jagaan masing-masing, supaya tidak menjadi medan kepada sebarang perbuatan khurafat atau unsur syirik,” katanya.
Sebarang maklumat atau aduan berkaitan boleh disalurkan terus kepada pihak JAIPs atau melalui saluran rasmi agensi ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd