Dua wanita Indonesia mangsa buruh paksa diselamatkan Imigresen

Dua wanita Indonesia mangsa buruh paksa diselamatkan Imigresen

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nasib dua wanita Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa akhirnya terbela apabila berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi dua operasi di Kapar dan Bukit Jelutong, Selangor pada 6 dan 12 Januari lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilaksanakan susulan aduan awam dan risikan Bahagian Pencegahan Anti-Pemerdagangan Orang Dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Ibu Pejabat JIM Putrajaya, bagi menumpaskan kegiatan sindiket ejen pembantu rumah asing tidak berdaftar.

“Dalam serbuan pertama pada 6 Januari lalu, pasukan operasi menahan seorang wanita warga tempatan berumur 38 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ejen ketika sedang melakukan transaksi penyerahan seorang pembantu rumah kepada majikan di sebuah premis makanan.

“Dalam operasi berkenaan, seorang wanita warganegara Indonesia berumur 45 tahun berjaya diselamatkan.

“Siasatan awal mendapati mangsa memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah, namun dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa turut dibebani hutang kos perjalanan sebanyak RM3,000.00 yang perlu dilunaskan melalui pemotongan gaji bulanan.

Katanya, modus operandi sindiket dikesan menawarkan perkhidmatan pembantu rumah menerusi aplikasi WhatsApp dengan mengenakan bayaran RM8,000.00 kepada majikan serta menjanjikan gaji bulanan sebanyak RM1,500.00 kepada pekerja.

Sementara itu, Zakaria berkata, dalam operasi kedua pada 12 Januari lalu, pasukan operasi berjaya menyelamatkan seorang lagi wanita warganegara Indonesia berumur 54 tahun di sebuah kediaman yang diubah suai menjadi premis perniagaan makanan.

“Mangsa didapati bekerja di premis berkenaan selama hampir sebulan.

“Siasatan mendapati mangsa diserahkan oleh ejen kepada majikan dengan bayaran mencecah RM14,000.00,” katanya.

Menurutnya, mangsa dipaksa bekerja melebihi tempoh masa yang ditetapkan manakala dokumen perjalanan (pasport) dan telefon bimbit mangsa dipegang pihak sindiket, menyebabkan mangsa terputus hubungan dengan ahli keluarga.

Katanya, mangsa turut berada dalam keadaan trauma akibat penderaan fizikal dan mental serta pergerakan yang dikawal ketat.

“Susulan itu, seorang wanita warga tempatan yang juga pemilik premis berkenaan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Zakaria berkata, operasi penyelamatan ini dilaksanakan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi tujuan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang.

“Kes disiasat di bawah Akta ATIPSOM 2007 (Akta 670).

“Sabit kesalahan di bawah ATIPSOM 2007, pesalah boleh dikenakan hukuman pemenjaraan seumur hidup atau pemenjaraan tidak kurang daripada lima tahun, serta boleh dikenakan hukuman sebat bagi kesalahan yang lebih berat.

“Peruntukan undang-undang yang lebih berat juga terpakai terhadap ejen atau majikan yang bersubahat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JIM menegaskan komitmen dalam membanteras jenayah pemerdagangan orang dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top