JOHOR BAHRU: Dua rakyat China dihukum penjara sebulan dan didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dakwaan menjadi ahli sindiket penipuan dalam talian atau love scam, dua minggu lalu.
Tertuduh, Lin Kun Chi, 32 dan Bai Kan Sen, 30 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, A. Shaarmini.
Kedua-duanya turut diperintahkan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Pada masa sama, seramai 18 rakyat Indonesia mengaku tidak bersalah atas dakwaan sama selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu.
Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka secara bersama-sama didakwa menjadi pihak kepada satu pakatan jenayah dan bersetuju untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu cubaan menipu mangsa melalui kaedah love scam.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di sebuah premis, di Jalan Forest City 17, Gelang Patah, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, kira-kira pukul 12.16 tengah hari, 15 Julai lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan kerana pakatan jenayah untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memerintah penjara sehingga lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam rayuannya, kedua-dua warga China berkenaan memohon hukuman diringankan kerana mendakwa telah ditipu ejen pekerjaan serta mempunyai tanggungan keluarga di negara asal.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 kepada setiap tertuduh warga Indonesia, dengan syarat dua penjamin warga tempatan selain pasport perlu diserah kepada mahkamah.
Sebutan semula ditetapkan pada 11 Ogos depan bagi proses lantikan peguam.-UTUSAN




