BARCELONA: Ducati mengesahkan tidak akan menurunkan pelumba gantian bagi menggantikan Marc Marquez pada Grand Prix (GP) Catalan hujung minggu ini selepas juara dunia itu menjalani pembedahan pada kaki dan bahunya.
Marquez mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan serius ketika perlumbaan pecut di GP Perancis minggu lalu sehingga menyebabkan kaki kanannya patah.
Susulan kecederaan itu, pelumba Sepanyol tersebut disahkan tidak dapat beraksi di Barcelona dan memilih menjalani pembedahan segera bagi merawat kecederaan dialaminya.
Selain pembedahan pada kaki, Marquez turut mengambil keputusan mempercepatkan rawatan pada bahu kanan yang masih bermasalah sejak mengalami kecederaan pada Oktober tahun lalu.
Ducati dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan itu tidak akan menggunakan khidmat pelumba gantian di GP Catalan, sekali gus menyaksikan Francesco Bagnaia menjadi satu-satunya wakil pasukan kilang Ducati hujung minggu ini.
Keputusan itu turut menimbulkan persoalan mengapa Ducati tidak menggunakan khidmat pelumba ujian, Michele Pirro, namun dipercayai dia kini memberi fokus penuh terhadap pembangunan jentera baharu Ducati 850cc bagi musim 2027.
Dalam masa sama, pelumba World Superbike Ducati, Nicolo Bulega pula terikat dengan perlumbaan di Czechia dan tidak dapat diturunkan sebagai pengganti. – AGENSI/UTUSAN




