am@hmetro.com.my
TIDAK dapat dinafikan, sambutan hangat penonton ketika mereka menjadi artis jemputan pada Konsert Elite Live ’25 membakar semangat buat kumpulan X-Factor kembali merancakkan industri seni selepas hampir dua dekad menyepikan diri.
Meskipun sudah lama tidak muncul, kumpulan vokal yang popular dengan lagu Bertuah dan 7251364 pada era 1990-an ini juga masih mengekalkan lima anggotanya iaitu Zach, Fendi, Shah, Danny dan Jim.
Menurut Zach yang mewakili kumpulan itu, mereka mengambil masa yang sangat lama untuk membuat kemunculan semula disebabkan komitmen dan tuntutan kerjaya masing-masing.
“Bila ada peluang berkumpul ketika buat persembahan pada Konsert Elite dan sambutan yang sangat baik dari peminat, di situ bermula perancangan kami untuk kembali mewarnai industri seni pada tahun ini.
“Pada konsert itu, kami merasakan aura X-Factor sudah kembali dan kami mahu melakukan kemunculan semula demi memenuhi permintaan peminat.
“Sebenarnya kumpulan X-Factor tidak pernah berpecah atau dibubarkan. Sebagai contoh, saya masih menggunakan nama Zach X-Factor bila terbabit dalam bidang lakonan begitu juga Danny,” katanya.
Bertepatan dengan kemunculan semula itu, kata Shah pula, pastinya mereka sudah membuat persiapan dari segi stamina dan vokal.
“Sebenarnya dari segi stamina kami selalu sentiasa bersedia termasuk latihan vokal. Sebagai contoh, saya adalah jurulatih di gimnasium dan Fendi pula bermain ragbi.
“Manakala Zach pula melakukan aktiviti senaman seperti joging dan sebagainya untuk aspek stamina,” katanya.
Dari segi persaingan pula, kata Danny, mereka juga tak pernah fikir pun mahu bersaing dengan kumpulan baru yang muncul dalam industri ketika ini.
“Kami cuma fikir nak buat lagu baharu untuk peminat yang sering bertanya bila X-Factor nak buat ‘comeback’?
“Untuk bersaing, X-Factor juga tidak perlu menjadi ‘baharu’, sebaliknya kami hanya perlu menjadi versi terbaik sekarang.
“Kuncinya adalah konsisten dan keberanian untuk bereksperimen tanpa meninggalkan asal asul muzik yang sudah membina nama X-Factor sebelum ini,” katanya.
Ditanya sama ada mereka sudah bersedia berdepan kritikan netizen pula, kata Danny, ia adalah asam garam dalam dunia seni dan semua artis akan melaluinya.
“Kritikan yang negatif akan menambahkan semangat kami untuk terus berjuang. Berbanding dulu, kami tidak berdepan netizen seperti sekarang kerana kami berjumpa peminat juga secara berdepan.
“Tapi, sekarang dunia sudah berubah dan kami perlu menghadapinya dan sentiasa berfikiran positif, kritikan bermaksud mereka sayang pada artis terbabit,” katanya.
Pertaruh MTV lagu Walu Walu
Berkongsi pembikinan muzik video (MTV) lagu terbaharu berjudul Walu Walu pula, kata Zach, ia berlangsung di sebuah studio di Seri Kembangan dengan mendapat penajaan syarikat filem penapis haba premium.
“Selepas kemunculan kami pada Konsert Elite 25, ada penerbit yang beri lagu pada kami dan beritahu X-Factor masih ada aura dari segi vokal.
“Bila dengar lagu itu, kami berasa ia kurang sesuai dan kami mahu buat lagu baharu. Pada mulanya kami agak tercari-cari macam mana mahu buat lagu dan adakah mereka perlu buat muzik video juga.
“Selepas berbincang, akhirnya Danny yang dapat idea untuk kami bermula dari bawah dan perlu ada muzik video.
“Lagu Walu Walu bermaksud ‘Awak Saya’ dan ia hasil ciptaan Jim sendiri dan pengarah muzik video ini pula adalah Han Zalini,” katanya.
Kata Jim pula, pihaknya mahu mengucapkan terima kasih kepada pelakon, Pekin Ibrahim yang membantu mendapatkan penajaan sekali gus merealisasikan muzik video berkenaan.
“Dari segi cabaran pula ialah untuk mencari ‘storyline’ (jalan cerita) yang relevan untuk semua peringkat usia.
“Selain itu, kami juga ada tampilkan bakat baharu dan barisan penari dalam muzik video ini,” katanya.
Mengenai perancangan pula, kata Zach, mereka merancang untuk muncul single demi single terlebih dahulu.
“Sebenarnya selepas konsert Elite ’25, kami juga dapat undangan persembahan dan program TV, tetapi kami terpaksa tangguhkan dulu.
“Buat masa ini, kami mahu fokus pada pembikinan lagu baharu dan mungkin kami akan buat tiga single dulu untuk tengok penerimaan dari peminat.
“Dari segi konsert pula, insya-Allah, kalau ada rezeki kami juga impi untuk buat konsert solo sebagai hadiah buat peminat kelak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




