mohamadridzuan@hmetro.com.my
KONSERT Kristal OG – 25 Tahun Dalam Satu Malam berlangsung pada hari sama dengan penganjuran Konsert Wali Kembali di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun, ‘persaingan’ yang berlaku tidak menjejaskan sambutan hebat daripada peminat apabila hadir memenuhi ZEPP Kuala Lumpur yang boleh memuatkan sekitar 2,000 penonton.
Kehadiran mereka bukan sekadar untuk berhibur, sebaliknya mahu mengembalikan memori sempena ulang tahun kumpulan yang bermula dengan album pertama pada 2000 ini.
Konsert ini menjadi sebuah panggung kenangan apabila persembahan diisi dengan lagu popular Kristal dan lagu ‘cover’ yang menaikkan populariti mereka.
Malah, krisis yang berlaku membabitkan beberapa ahli asal Kristal juga tidak mencacatkan perjalanan konsert ini apabila ia berjalan lancar seperti dirancang.
Konsert dibuka dengan segmen ‘Putus Kepala’ menerusi lagu rancak yang menaikkan adrenalina penonton supaya bersemangat untuk berhibur.
Lagu yang didendangkan ialah Merdeka Di Minda Sfera, Tak Naik Tocang, Motor Satu Roda dan Resam Pak Belalang.
Puas memanaskan suasana, Lan bersama rakan-rakannya hadir pula dengan segmen kedua, ‘Tenang Tak Kalut’.
Kali ini persembahan mereka agak santai menerusi lagu Hey Bambino, Macam Kentang dan Pasti Sempurna.
Dari aspek persembahan terserlah kematangan mereka dengan persembahan muzik yang kemas, mantap dan menghiburkan. Lan sebagai teraju utama berjaya mengawal tempo persembahan dengan baik.
Daripada segmen santai, suasana bertukar rancak semula menerusi segmen ‘Rockdut’ di mana lagu yang ditampilkan iaitu Janji, Penasaran dan SMS pernah menjadi penyelamat kesinambungan populariti Kristal suatu ketika dulu.
Kehangatan persembahan pada malam itu terus disemarakkan dengan segmen ‘Henjut’ yang diisi dengan lagu Persoalan, Bersalin Kulit, Dejavu dan Selagi Ada Rindu.
Tidak dilupakan ialah kenangan terhadap anggota Kristal, Bob dan jurutera bunyi mereka, Pablo menerusi segmen tribute lagu Suatu Kenangan.
Segmen seterusnya ialah ‘Medley Jiwa Akustik’. Lagu seperti Ku Membisu, Nurani, Retorik Cinta, Luahan Hati, Yang Ku Cinta dan Cinta Tiga Segi dinyanyikan dengan diiringi nyanyian beramai-ramai penonton.
Segmen ‘Tiga Drummer’ selepas itu menampilkan tiga pemain dram di satu pentas dengan lagu yang ditampilkan Busuk Membusung, Layar Dan Sambar, Esok Belum Pasti, Kasut Terbang dan Keindahan Pantai.
Perasaan terima kasih Kristal terhadap sifu mereka, Datuk Awie pula diterjemahkan menerusi segmen ‘Tribute Sifu’ dengan pengisian lagu Tragedi Oktober, Bernafas Dalam Lumpur, Hukum Karma dan Bujang Senang.
Menghampiri penghujung konsert, Kristal tampil dengan segmen ‘Menuju Puncak’ dengan lagu popular Memburu Impian dan Delaila yang membawa kejayaan besar dalam karier mereka.
Persembahan ditutup dengan lagu Seragam Hitam 2020 yang penuh meriah, menyaksikan peminat yang hadir pulang dengan penuh kepuasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




