zaidim@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Tahun kedua menyambut Syawal dalam norma baharu yang meletakkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai prasyarat mengawal penularan COVID-19, Media Prima Berhad (MPB) mengajak penonton duduk di rumah menikmati sajian program Aidilfitri di TV3 dan TV9.
Biarpun berjauhan daripada ibu bapa, sanak-saudara dan insan tersayang, Aidilfitri tetap disambut meriah bersama isi rumah mahupun bersendirian.
Jalinan kemesraan dieratkan lagi melalui himpunan program raya menarik menampilkan selebriti popular seperti Datuk Adi Putra, Nadia Brian, Sharifah Sakinah, Naim Daniel, Zara Zya, Andi Bernadee, Janna Nick dan Elisya Sandha.
Tidak ketinggalan, Redza Rosli, Sharifah Shahirah, Nabila Huda, Fauziah Nawi, Awal Ashaari, Haziq Hussni, Sherry Alhadad, Sean Lee, Alif Satar, Ebby Yus, Issey dan ramai lagi, yang muncul dalam pelbagai program mulai Rabu ini.
Dalam leka membuat persiapan akhir pada malam raya penonton boleh berhibur dengan program bual bicara santai, Havoc Nak Raya mulai jam 11 malam bersama pasangan pengacara keletah, Haziq Hussni dan Sherry Alhadad.
Berkongsi butiran program itu, Haziq berkata, dia dan Sherry berkongsi persiapan beberapa artis popular menyambut 1 Syawal.
“Ini termasuk kenangan istimewa mereka pada Hari Raya. Turut ditampilkan, persembahan istimewa artis popular.
“Antara artis yang terbabit adalah Datuk Awie, kumpulan Senario, Sharifah Shahira, Didie Alias, Amyza Aznan, Jasmin Hamid, Syamel dan Ernie Zakri.
“Turut menghiburkan peminat adalah Baby Shima, Iman Troye dan Chef Zam,” katanya kepada BH Online.
Hiburan raya diteruskan pada keesokan hari dengan gelagat lucu Andi Bernadee, Zara Zya, Dayang Areeda dan Dhia mencuba pelbagai cara untuk memujuk ibu lakonan Azizah Mahzan, menyambut raya di bandar.
Telatah mereka boleh disaksikan dalam drama bersiri empat episod, Jom Mak, Raya KL! mulai jam 10 pagi pada 1 Syawal.
Peminat setia Redza Rosli dan Sharifah Rose boleh menonton aksi mereka dalam drama Kekasih Hati Mr Bodyguard yang mengisi slot Lestary, mulai Sabtu ini.
Istimewa buat penonton setia drama Melayu, kesinambungan drama bersiri yang mendapat sambutan hangat ketika iaitu Misteri Mona dan Aku Yang Kau Gelar Isteri akan disiarkan dalam slot Cerekarama Raya, iaitu Sabtu ini dan 22 Mei depan.
Misteri Mona: Kuserumu Kembali mengisahkan Anom lakonan Janna Nick terpaksa melepaskan ‘Mona’ sekali lagi untuk menyelamatkan anaknya yang dikatakan sudah meninggal dunia.
Namun, ia hanyalah anak patung yang ditanam di belakang rumah dan mungkin aksi itu berpunca daripada halusinasi Anom semata-mata.
Sementara itu, Epilog Aku Yang Kau Gelar Isteri pula bakal merungkai misteri atau teka-teki yang dibangkitkan peminat drama ini.
Kemeriahan berganda dengan susunan telefilem menarik dibarisi artis popular tanah air pada minggu pertama raya seperti Raya Hampir Tak Jadi (lakonan Kazar, Azar Azmi, Syazuwan Hassan dan Balkisyh Semundur); Takdir Yang Tertunda (lakonan Nadia Brian, Nazim Othman) dan Obsesi (dibintangi Idris Khan, Aprena Manrose dan Octovia Manrose).
Peminat Azlee Khairi dan Elisya Sandha pula boleh menyaksikan lakonan mereka dalam telefilem Fateema Az Zahra.
Turut mengisi slot adalah telefilem Jeti menampilkan lakonan hebat Fauziah Nawi, Nabila Huda dan Fifi Laura; Rabak (Datuk Adi Putra, Khatijah Tan, Fadilah Mansor, Izzue Islam) serta Primadona (Ruminah Sidek, Liza Abdullah, Datuk Ziela Jalil, Norlia Ghani, Rosnani Jamil dan Datuk Jalaluddin Hassan)
Tidak ketinggalan, filem blockbuster yang akan ditayangkan iaitu Lari, BoBoiBoy Movie 2, Pulang, Hantu Nan Sempit dan Hantu Bonceng.
Bagi peminat Melodi Raya 2021, dua episod berdurasi sejam setengah akan disiarkan pada 6 dan 23 Mei ini mulai jam 12 tengah hari.
Program hiburan popular ini masih mengekalkan hos mingguan, Awal Ashaari dan Janna Nick menerajuinya.
Tahun lalu, Melodi Raya dirakamkan dalam studio. Namun, kali ini, penggambaran dibuat di perkampungan di Paut, Telik Panglima Garang, Kuala Selangor.
Penerbitnya, Noradillah Abdullah atau Adeed berkata, rakaman dilihat sedikit meriah berbanding tahun lalu.
“Tahun lalu, rakaman di studio membariskan artis jemputan yang sangat terhad.
“Tapi tahun ini, penggambaran dilakukan di luar studio dan agak meriah walaupun tak dapat mengundang ramai artis seperti kebiasaan,” katanya.
Adeed berkata, sejak dua dekad lalu, peminat tahu Melodi Raya meriah dan secara besar-besaran.
“Cuma ketika pandemik COVID-19 melanda dunia, kita cuba hidupkan resam sama dengan mengikut SOP,” katanya.
Adeed menambah, Melodi Raya 2021 tetap hangat dengan barisan lebih 35 artis sensasi dan kontroversi daripada generasi lama serta baru.
Antaranya seperti Neelofa, Hael Husaini, Aina Abdul, Syamel, Ernie Zakri, Isa Khan, Risteena Munim, Nabila Razali, Hafiz Hamidun, Izreen Azminda, Noorkumalasari, Jeslina Hashim dan ramai lagi.
“Kita pecahkan episod dengan beberapa segmen seperti Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih membabitkan artis yang pernah berselisih faham.
“Contohnya krisis Hafiz Hamidun yang memuat naik ciapan mengenai nyanyian Nabila Razali pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35.
“Kami juga menyatukan Izreen Azminda dan Intan Saleh iaitu bekas isteri suaminya,” katanya.
Adeed berkata, segmen Apa Khabar pula menampilkan bintang veteran, Noorkumalasari dan Jeslina Hashim.
“Kita cuba memberi variasi tontonan kepada peminat Melodi. Segmen Syawal Pertama mengetengahkan artis yang kali pertama menyambut lebaran bersama.
“Tidak lengkap Melodi Raya tanpa selingan persembahan. Kami membariskan penyanyi otai seperti Hail Amir, Junaidah M Amin, Kaka Azraff dan ramai lagi.
“Seleksi lagu raya semestinya antara yang terus menaikkan semangat beraya biarpun dalam serba sederhana,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Adeed yang mengetuai Melodi sejak awal tahun ini berkata, rancangan nombor satu tanah air di TV3 itu akan berubah wajah selepas sambutan raya.
“Insya-Allah jika tiada aral melintang, Melodi akan mendapat suntikan serba baharu. Ada beberapa segmen baru sudah dipersetujui dan dipertimbangkan untuk mewarnai perjalanan program ini.
“Set rakaman pun sudah beberapa tahun tidak bertukar. Jadi nantikan wajah baru kami. Seiring dengan peredaran masa dan dunia media sosial, kami tidak boleh terus terkebelakang.
“Instagram rasmi @meloditv3 juga menjadi medium terbaik untuk kami kongsi cerita ketika ia masih hangat dan belum dilupakan,” katanya.
Sementara itu, Janna yang muncul dalam sidang media Google Meet mengenai program Aidilfitri di TV3 dan TV9 berkata, Melodi Raya kali ini membawa sentuhan mood beraya di kampung.
“Disebabkan kita tidak boleh merentas negeri sesuka hati dan PKP dikuatkuasakan di kawasan tertentu, Melodi Raya bawa mood suasana kampung kepada penonton. Jadi dapatlah juga rasa pengalaman beraya,” katanya.
Media Prima menyediakan platform Misi Salam Sayang kepada pengusaha kecil mempromosikan produk mereka di laman sosial TV3 Malaysia.
Lagu tema Salam Sayang dicipta Sharon Paul dinyanyikan Amyza Aznan dan anaknya, Adrian Adam.
Tanyalah Ustaz Raya turut akan disiarkan serentak di TV3 dan TV9 sebanyak tujuh episod bermula Khamis ini sehingga 19 Mei dari jam 6.30 hingga 8.30 pagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




