redzuan.muharam@hmetro.com.my
Baling: Pasangan ini pernah hidup selesa sejak membuka kafe pada Januari 2023 dengan bermodalkan wang simpanan dikumpul hasil dua tahun berniaga di tepi jalan.
Bagaimanapun, kehidupan mereka diuji apabila kafe itu tidak dapat bertahan dan terpaksa ditutup pada Jun lalu akibat dihimpit masalah kewangan.
Berat untuk Muhammad Afiq Ramli Burhan, 35, dan isteri, Siti Hannan Rahaman, 38, membuat keputusan itu namun terpaksa bagi mengelak lebih banyak kerugian kerana ketiadaan pelanggan dipercayai akibat menjadi mangsa ilmu hitam sejak tahun lalu.
Berbekalkan semangat, Muhammad Afiq Ramli dan isteri, Siti Hannan yang menetap di Taman Cenderawasih, dekat sini cuba bangkit dengan kembali berniaga di tepi jalan serta menyertai festival makanan.
Berkongsi kisah itu, Muhammad Afiq Ramli mengakui tidak mudah untuk membina semula perniagaannya daripada bawah dalam keadaan mereka yang kesempitan wang.
Mana tidaknya, Muhammad Afiq Ramli perlu menebalkan muka untuk meminjam wang daripada sahabat baik untuk dijadikan modal berniaga bagi membolehkannya isteri terus berniaga serta mencari rezeki.
“Ikutkan, kami mula berniaga selepas berkahwin pada Oktober 2019 dan pada awalnya menjual nasi lemak di Cameron Highland, Pahang selama dia bukan untuk cari duit untuk majlis persandingan.
“Kemudian, kami balik ke sini (Baling) dan terus berniaga malah sempat buka kedai pada Januari 2020 cuma tak bertahan lama kerana terpaksa ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Dalam tempoh PKP, kami masih berniaga tapi dengan buat penghantaran makanan urus niaga secara hantaran tunai (COD)…daripada situ, kami kumpul duit hingga dapat buka kafe dua tahun lalu.
“Kami tak buat pinjaman waktu itu dan guna duit sendiri malah isteri sanggup gadai cincin dengan rantai kahwin untuk bantu cukupkan modal,” katanya kepada Harian Metro.
Muhammad Afiq Ramli berkata, aneka makanan panas termasuk menu barat dijual di kafe berkenaan yang beroperasi bermula jam 11 pagi hingga 11 malam.
Katanya, sambutan juga amat baik terutama ketika waktu makan tengah hari kerana sering dikunjungi kakitangan yang bekerja di pejabat.
“Keuntungan kami pernah mencecah lima angka sehari dan hasil keuntungan itu, kami dapat bayar gaji pekerja selain beli kereta dan rumah.
“Tapi dugaan datang bila kafe kami terkena buatan orang hingga saya pernah tak dapat berjalan tanpa sebab selama empat hari dan ada pelanggan tak nampak bila lalu depan kafe kami selain kewujudan banyak lalat bila orang datang makan.
“Lama kelamaan, pelanggan semakin berkurangan hingga pernah dapat dua saja dalam sehari keadaan itu menyebabkan kami terpaksa kurangkan pekerja daripada lapan tinggal dua namun dan kemuncaknya, kami terpaksa tutup kafe,” katanya yang aktif memuat naik video di akaun TikTok Hallocintahati bagi mempromosikan perniagaannya.
Sementara itu, isterinya, Siti Hannan berkata, bukan dia dan suami tidak berusaha menyelamatkan kafe berkenaan kekangan kewangan menyebabkan perniagaan mereka itu gulung tikar.
Selepas menutup kafe, dia dan suami juga terpaksa mendapatkan rawatan sehingga ke Thailand akibat penyakit misteri sebelum kembali berniaga di tepi jalan bermula September.
“Sampai satu tahap, kami pernah ke Singapura untuk cari kerja namun tak dapat dan kemudian berniaga secara jualan but kereta selama tiga minggu di sekitar Johor Bahru, Johor.
“Perjalanan kami tak mudah kerana terpaksa bermalam di kereta sepanjang di sana dan ikutkan ada bapa saudara di Johor Bahru cuma tak nak menyusahkannya.
“Selepas tiga minggu, kami kembali ke sini dan sekarang berniaga di merata tempat, antaranya di acara festival makanan, tepi jalan dan depan kedai makan. Buat masa ini, kami jual air longan, kuetiau, mi segera juga nasi putih dengan tom yam,” katanya yang juga diuji sebagai pasangan sedang cuba hamil (TTC).
Biarpun menempuh jalan berliku, dia dan suami akan terus berusaha dengan harapan dapat membuka kafe seperti dulu.
“Tahun ini banyak menguji kami sampai nak beli beras pun tak mampu dan pernah makan mi segera saja sebab kesempitan wang.
“Tapi dalam keadaan susah atau senang, saya dengan suami akan sentiasa bersama serta ada untuk satu sama lain.
“Kami belum ada rezeki dapat cahaya mata jadi tumpang kasih sayang dengan anak saudara namun mungkin ada hikmahnya kerana jika ada anak, saya tak dapat bayangkan macam mana saya dengan suami besarkan mereka dalam kesempitan wang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
