Dugaan Mohamad Azam, isteri hidap barah payudara dan punyai 2 anak autistik

Dugaan Mohamad Azam, isteri hidap barah payudara dan punyai 2 anak autistik

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Senai: Selepas dikurniakan dua anak autistik, lelaki ini ditakdirkan isteri tercinta pula disahkan menghidap barah payudara tahap tiga pada bulan lalu.

Realitinya, Mohamad Azam Zuhri Azwan Boo, 36, tidak kuat namun bertahan kerana mengenangkan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga yang bukan hanya perlu mencari rezeki, namun perlu memberi semangat buat anak juga isteri, Norzehan Farrahin Mohd Jamil, 37.

Menceritakan kisahnya, Mohamad Azam Zuhri yang bekerja sebagai penyelia tapak di sebuah syarikat pembinaan, di sini, mengakui perasaannya bercampur-baur selepas mengetahui penyakit isteri.

“Pada awalnya, isteri beritahu yang dia sedar ada simptom iaitu ketumbuhan pada payudara dan ketulan pada ketiak kiri.

“Kemudiannya, saya bawa isteri ke sebuah klinik sebelum dirujuk ke sebuah hospital swasta untuk pemeriksaan lanjut.

“Isteri kemudiannya dirujuk pula ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) bagi menjalani biopsi sebelum dapat pengesahan mengenai penyakit sebenar.

“Jujurnya memang terkejut, sedih, risau, takut hingga hampir patah semangat kerana tak nak kehilangan isteri, malah tak dapat bayangkan bagaimana hidup tanpanya memandangkan anak kami juga masih kecil,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohamad Azam Zuhri berkata, dia tinggal di asrama yang disediakan pihak syarikat, manakala isteri dan anaknya di rumah mentua di Taman Sri Tangkak, Johor.

Lantaran komitmen kerja, Mohamad Azam Zuhri tidak dapat pulang lebih kerap namun tetap berhubung dengan anak juga isteri bagi mengetahui keadaan mereka.

“Dulu kami tinggal bersama, namun anak dan isteri pulang ke kampung tahun ini. Kalau boleh tak nak berjauhan tapi keadaan memaksa kerana saya pun baru bekerja semula di syarikat ini pada Mei lalu selepas berhenti pada 2013.

“Kiranya saya baru nak bangkit semula dan nasib baik ada keluarga mentua yang bantu tengokkan isteri juga anak, cuma saya tetap perlu beri wang belanja.

“Isteri sudah selesai dua sesi kemoterapi dan diteruskan yang ketiga (sesi rawatan). Akan datang kena buat PET Scan pula dan saya tak dapat pulang selalu kerana simpan cuti untuk menemaninya menjalani rawatan di kemudian hari,” katanya yang juga mempunyai dua anak tiri berusia 11 dan 15 tahun.

Berkongsi perihal anak istimewanya, Mohamad Azam Zuhri berkata, dia anaknya, Harraz Callister, 8, atau Harraz dan Khayla Clarissa, 5, kedua-duanya autistik kategori tidak boleh bertutur.

Bagaimanapun, Harraz juga mengalami gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif atau ADHD dan sudah mempunyai kad orang kurang upaya (OKU).

“Harraz pernah bersekolah di sekolah aliran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) ketika berusia enam tahun namun kini tidak lagi selepas doktor kata tak sesuai.

“Khayla yang dalam jagaan isteri, masih kecil jadi belum bersekolah cuma dia juga autistik seperti abangnya,” katanya yang sudah tujuh tahun sudah berkahwin.

Sebagai suami, Mohamad Azam Zuhri berharap dan sentiasa berdoa semoga isterinya kembali sihat serta dapat menjalani kehidupan normal seperti insan lain.

“Saya pula akan berusaha mencari wang untuk menampung perbelanjaan perubatan isteri kerana tak nak jadual rawatan tertangguh kerana masalah kewangan.

“Saya bersyukur kerana dapat bantuan daripada orang ramai selepas berkongsi kisah di media sosial baru-baru ini.

“Tak sangka ramai yang menyumbang hingga dapat kira-kira RM3,000 dalam sehari dan saya hargai sangat pertolongan itu kerana jujurnya memang memerlukan wang ketika ini,” katanya yang juga bersyukur kerana majikannya sangat memahami kesulitan dihadapi ketika ini.

Buat masa ini, Mohamad Azam Zuhri belum menerima bantuan daripada mana-mana agensi kerana masih dalam proses permohonan.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7621722390 atas nama Mohamad Azam Zuhri Azwan Boo.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top