khairil.ashraf@hmetro.com.my
Bangi: Apabila kembar seiras berkahwin dengan kembar seiras, pada awalnya pasti timbul insiden sering tertukar identiti pasangan.
Demikian yang dialami kembar seiras, Harlina dan Haryati Shamsudin, 47 dan suami masing-masing yang juga kembar seiras Shazli Rifa’at dan Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali, 52, pada awal perkahwinan mereka pada 1999.
Harlina yang juga jururawat Pusat Kesihatan Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pada awal perkahwinan mereka sering terjadi kakak kembarnya, Haryati tersilap menegur kembar suaminya.
“Masa awal-awal perkahwinan sering silap. Kalau tak tengok muka atau lihat dari belakang atau tepi, Haryati yang selalu salah tegur. Ini disebabkan bentuk badan mereka dahulu dan corak potongan rambut pun sama.
“Tapi sekarang sudah dapat bezakan kerana abang ipar sudah pakai cermin mata,” katanya ketika ditemui Harian Metro baru-baru ini.
Perkahwinan Harlina dan Shazli Rifa’at dikurniakan empat orang cahaya mata.
Perkahwinan Haryati yang juga jururawat di UKM dengan Dr Shazli Ezzat, Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, UKM itu pula dikurniakan empat anak.
Kisah perkahwinan pasangan kembar seiras ini pernah dilaporkan Harian Metro pada 6 September 1999.
Mengulas lanjut, Harlina yang telah berkahwin selama 25 tahun berkata, kesilapan menegur itu juga berterusan sehingga masing-masing mempunyai anak.
“Sewaktu kecil, anak kami pun selalu silap tegur ayah mereka,” katanya.
Perkara itu diakui oleh Shazli Ezzat dengan menyatakan mereka sering salah menyapa.
“Isteri masing-masing selalu salah menyapa seperti tepuk dari belakang. Tapi tak adalah sampai salah masuk bilik,” katanya sambil ketawa sewaktu mengimbas kembali perkahwinan mereka.
Shazli Ezzat berkata, sebagai pasangan kembar seiras, orang ramai kebiasaannya keliru termasuk dalam kalangan ahli keluarga.
“Mana satu Ezzat, mana satu Shazali, mana satu Ina dan mana satu Yati. Kawan-kawan selalu salah sapa. Kalau pertama kali jumpa, tak tahu latar belakang memang keliru.
“Kalau jumpa rakan-rakan yang rapat, mereka akan tepuk belakang sedangkan yang ditepuk itu kembar kita. Tiap kali jumpa kawan dia (Shazli), perkara sama juga berlaku,” katanya.
Selain itu katanya, bagi mengelakkan pelajarnya salah faham, setiap permulaan kelas atau kuliah, dia akan memperjelaskan mempunyai pasangan kembar.
“Saya kena perkenalkan bahawa saya ada kembar. Bukan sahaja ada kembar, tetapi juga berkahwin dengan kembar.
“Bila kita perkenalkan diri, sekurang-kurangnya di luar sana, mereka ingat saya pernah maklumkan ada kembar,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai perkahwinan kedua-dua mereka, Shazli Ezzat berkata, ia adalah aturan dibuat oleh ibunya, Allahyarham Noor Aini Baba, pada tahun 1998.
Menurutnya, sejak kecil, ibunya mempunyai ‘mindset’ atau pemikiran untuk mempunyai menantu kembar.
“Niat mak, dia nak menantu kembar dan jodohkan dengan anak kembarnya. Itu daripada peringkat awal lagi. Semasa kecil, dia sering bercakap pasal itu.
“Macam mana nak ‘buat’ menantu kembar itu, kita pun tak tahulah,” katanya.
Katanya, aturan ibunya itu bermula apabila melihat isteri dan kembarnya menghadiri kenduri kahwin adiknya.
Bermula daripada itu, ibunya membuat kerja secara senyap-senyap, termasuklah berjumpa dengan ibu bapa bakal isteri ketika itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
