Pelakon dan penyanyi, Aqasha lantang menyuarakan kekecewaannya terhadap fenomena sosial masa kini yang disifatkannya semakin pelik dan membimbangkan, apabila masyarakat terbuka menyokong individu yang terlibat dengan kandungan tidak bermoral.
Menerusi satu perkongsian di TikTok Story, Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akassya Rosli, secara sinis menempelak sikap hipokrit sesetengah pihak yang suatu ketika dahulu sibuk menghukum golongan artis, namun kini berbangga menyokong dan bergambar dengan figura tidak senonoh.
“Zaman aku membesar, artis jugalah yang dituduh cetek agama, kurang akhlak. Tapi hari ni, Malaysia dah ada ‘cornstar’ sendiri… dan ramai pula yang bangga selfie dengan dia. Entah mak bapak dia tahu ke tak,” katanya.
Lebih pedas, Aqasha turut menyindir budaya popular yang memperdagangkan agama demi populariti, kononnya atas nama perjuangan.
“Aku hairan… nak jadi muslimah, tapi terjebak dalam benda-benda macam tu. Tak sedar ke semua tu dah jauh sangat dari asas agama?
“Lagi pelik, ada pula kumpulan ‘cult’ yang pandai-pandai jadi penasihat capmelan. Macam mana boleh rosak sampai macam ni?” luahnya.
Aktor drama Suamiku Lelaki Pendosa itu turut menegaskan meskipun dirinya telah lama berkecimpung dalam industri hiburan yang sering dipandang serong, dia tidak pernah tergamak mempergunakan agama demi kemewahan.
“Aku dari umur 18 tahun dah dalam dunia hiburan yang orang kata dunia maksiat ni… tapi belum pernah aku jual nama Tuhan untuk kepentingan sendiri,” ujarnya.
Menutup perkongsiannya, Aqasha menitip doa agar masyarakat kembali sedar dan tidak terus hanyut dengan budaya songsang yang semakin diterima tanpa tapisan.
“Moga Allah jauhkan kita dari keangkuhan dan kebodohan… dan beri kita kenal diri yang sebenar,” katanya.




