am@hmetro.com.my
Maran: Kawasan yang suatu ketika dahulu menjadi antara lubuk ikan dengan aliran air deras dan dasar sungai yang dalam di Pesagi, di sini, kini berubah menjadi hamparan pasir selepas salah satu cabang Sungai Pahang itu terus kering sejak beberapa tahun lalu.
Tinjauan mendapati kawasan berkenaan kini kering kontang sehingga boleh dilalui dengan motosikal dan pejalan kaki, malah sebahagian permukaan sungai sudah mula ditumbuhi rumput.
Keadaan itu bukan hanya berlaku ketika musim kemarau, sebaliknya berterusan sepanjang tahun di cabang sungai berhampiran jalan Kampung Pesagi.
Penduduk, Ahmad Tarmizi Yusuf, 56, berkata, cabang sungai sepanjang kira-kira enam kilometer itu mula mengalami keadaan berkenaan sejak tiga tahun lalu.
“Memang sudah berubah. Kalau dahulu ini sungai, sekarang sudah menjadi seperti ‘padang pasir’. Kalau hujan pun air hanya ada di bahagian alur dan menjadi seperti kubang.
“Kami tidak tahu apa puncanya. Keadaan ini menyukarkan kami kerana terpaksa berjalan jauh di atas pasir untuk ke bot yang diletakkan di cabang sungai bersebelahan.
“Dalam cuaca panas terik, pasir sungai terlalu panas sehingga kaki hampir melecur apabila berjalan di atasnya,” katanya ketika ditemui di Kampung Pesagi, hari ini.
Menurut Ahmad Tarmizi, terdapat operasi pam pasir di cabang sungai bersebelahan yang menyebabkan kawasan itu masih dipenuhi air.
Katanya, penduduk berharap kerajaan dapat mengambil tindakan segera termasuk mengorek serta memindahkan pasir di sungai berkenaan bagi memulihkan kembali aliran air.
Sementara itu, penternak ikan sangkar, Khairul Nizam Omar, 43, berkata, keadaan sungai yang semakin kering menyebabkan dia menanggung kerugian.
Katanya, walaupun kawasan sangkarnya berada di bahagian paling dalam, paras air yang cetek menyebabkan ternakan ikan patin tidak lagi dapat diteruskan.
Susulan itu, dia mengambil keputusan memindahkan semua 60 sangkar ikan miliknya ke kawasan lain yang lebih jauh dari rumahnya di Kampung Pesagi.
“Sejak tiga tahun lalu keadaan di sini hampir tidak berubah dan terus seperti padang pasir. Kami berharap kawasan ini dapat dipulihkan semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

