am@hmetro.com.my
Georgetown: Seorang lelaki yang disyaki memukul jiran menggunakan besi dalam kejadian di Jalan Perak, Ahad lalu, akan didakwa di Mahkamah Georgetown, di sini, esok.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake mengesahkan lelaki berusia 62 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan berkenaan esok,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, suspek yang berjaya ditahan pada hari kejadian menerima perintah reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki warga emas parah dipukul jirannya menggunakan besi selepas berlaku perselisihan faham antara kedua-dua mereka, pada jam 9.30 pagi.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 15 saat yang memaparkan mangsa dalam keadaan terbaring.
© New Straits Times Press (M) Bhd
