Duncan mahu jadikan Harimau Malaya pasukan paling cergas di Asia

Duncan mahu jadikan Harimau Malaya pasukan paling cergas di Asia

Kuala Lumpur: Sebaik dipilih menyertai projek revolusi Harimau Malaya, Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan menetapkan misi untuk menjadikan skuad kebangsaan sebagai pasukan paling cergas di Asia.

Berbekalkan pengalaman luas terutama dalam bidang perubatan termasuk di beberapa negara luar sebelum ini, Duncan optimis sasaran itu mampu dicapai hasil daripada strategi bakal digunakan yang selari dengan rangka kerja prestasi tinggi bertaraf dunia.

“Secara asasnya, tugas selaku Ketua Prestasi Tinggi adalah menguruskan perkara berkaitan dengan sains sukan, sains perubatan, kecergasan, nutrisi dan psikologi pemain.

“Bagi saya, semua aspek itu amat penting untuk memaksimumkan prestasi setiap pemain bagi membantu tugas Ketua Jurulatih, Peter Cklamovski,” katanya dalam hantaran di laman Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Dalam pada itu, Duncan mengakui kagum dengan projek revolusi Harimau Malaya dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Beliau berkata, kerjasama dengan ahli pasukannya termasuk pakar fisioterapi, jurulatih kecergasan serta bahagian perubatan sains sukan mampu menjelmakan lebih banyak aspek positif dalam pasukan negara.

Selain Duncan dan Cklamovski, projek berkenaan turut menyaksikan pelantikan bekas pemain Kanada, Robert Friend selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top