SEATTLE: Belgium menempah tiket ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menewaskan Senegal 3-2 dalam aksi penuh dramatik yang berlanjutan hingga ke penghujung masa tambahan, sebentar tadi.
Ketika Senegal sudah hampir melakar salah satu kemenangan terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu, Belgium bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum kapten pasukan, Youri Tielemans muncul wira menerusi sepakan penalti pada minit ke-125 yang menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan.
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Rudi Garcia meneruskan impian memburu gelaran dunia pertama mereka, manakala Senegal terpaksa menelan kekecewaan selepas begitu hampir melangkah ke pusingan seterusnya.
Senegal bermula dengan cukup meyakinkan apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Habib Diarra.
Pemain tengah itu pantas menyambar bola muntah selepas tandukan Ismaila Sarr terkena tiang untuk menewaskan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois.
Pasukan dari Afrika itu terus memberikan tekanan dan berjaya menggandakan kelebihan enam minit selepas babak kedua bersambung apabila Sarr melepaskan rembatan deras yang gagal dihalang Courtois, sekali gus meletakkan Senegal di ambang kemenangan sensasi.
Ketika Belgium dilihat semakin hampir untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan, pengalaman dan ketenangan pemain-pemain mereka akhirnya menjadi pemisah.
Penyerang gantian, Romelu Lukaku menghidupkan semula harapan pasukan apabila menjaringkan gol pada minit ke-86 sebelum Tielemans menyamakan kedudukan hanya tiga minit kemudian.
Dua jaringan pantas itu mengubah sepenuhnya momentum perlawanan dan memaksa aksi diheret ke masa tambahan, sekali gus memadam kegembiraan awal penyokong Senegal yang sudah mula membayangkan kemenangan.
Pertarungan sengit berterusan dalam masa tambahan dengan kedua-dua pasukan saling mencari jaringan kemenangan, namun detik penentu akhirnya hadir pada minit ke-125 apabila Belgium dianugerahkan sepakan penalti selepas Tielemans dijatuhkan di dalam kotak penalti.
Pemain tengah berpengalaman itu kemudian bangkit menyempurnakan sendiri sepakan dari jarak 12 meter dengan penuh tenang untuk menewaskan penjaga gol Senegal dan mencetuskan kegembiraan luar biasa di kem Belgium.
Kejayaan tersebut memastikan Belgium terus menghidupkan impian mereka di pentas dunia dan bakal berdepan pemenang pertemuan antara Amerika Syarikat dan Bosnia dan Herzegovina di Seattle pada 7 Julai bagi merebut tempat ke suku akhir.
Bagi Senegal pula, kekalahan itu pasti menjadi antara episod paling perit dalam sejarah Piala Dunia mereka selepas hanya beberapa minit memisahkan mereka daripada kemaraan bersejarah, sebelum impian tersebut diragut oleh kebangkitan dramatik Belgium dan sentuhan kapten mereka, Tielemans.-AGENSI




