Durian rasa kopi di Kampung Damak, 'berlemak'

Durian rasa kopi di Kampung Damak, 'berlemak'

am@hmetro.com.my

Jerantut: Varieti durian tempatan beraroma dan berasa seakan kopi yang hanya ditanam di sebuah kampung di daerah ini, mula mencuri perhatian peminat raja buah apabila berpotensi muncul sebagai durian premium baharu negara,

Durian yang berasal dari Kampung Damak itu dianggap antara varieti unik kerana jumlah pokok induknya sangat terhad, sekali gus menyebabkan pengeluaran buah berkenaan setiap musim tidak banyak.

Pemilik pokok asal durian itu, Zulkifly Mahmud, 60, berkata durian berkenaan mula dibiakkan melalui semaian biji benih oleh Allahyarham bapanya lebih 50 tahun lalu di belakang rumah mereka.

Menurutnya, varieti durian yang dikenali sebagai ‘Durian Nescafe’ itu, sebenarnya sudah lama wujud di kampung berkenaan, namun hanya dikenali dalam kalangan penduduk setempat.

“Allahyarham bapa saya menanam pokok itu ketika saya masih kanak-kanak.

“Setakat ini, hanya ada 90 pokok dan di tanam di kawasan seluas hampir satu hektar,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Zulkifly berkata, sekiranya semua pokok berkenaan mengeluarkan hasil, beliau menjangkakan jumlah pengeluaran durian itu mampu mencecah sehingga 500 kilogram bagi setiap musim.

Menurutnya, nama “Durian Nescafe” diberikan berikutan aroma dan rasanya yang menyerupai minuman kopi, selain mempunyai isi yang lemak dan berbeza daripada kebanyakan varieti durian lain.

“Bagaimanapun, durian ini mempunyai kekangan kerana tidak tahan lama apabila isinya mudah berair.

“Buah ini hanya sesuai dimakan dalam tempoh satu hingga dua hari selepas dibuka dan paling sedap dinikmati secara segar kerana tidak sesuai disimpan lama,” katanya.

Sementara itu, penjual durian, Ramli Mustapha, 54, berkata berat sebiji durian berkenaan boleh mencecah sehingga empat kilogram.

Katanya, ketika ini durian itu hanya dijual kepada pelanggan tertentu yang mengetahui keunikan rasa dan aromanya.

“Harga pasaran durian ini ialah RM25 sekilogram. Disebabkan keunikan rasa dan aromanya, saya yakin durian ini berpotensi muncul sebagai durian premium tempatan pada masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top