Duyung Legenda Aurora hidupkan kembali watak nostalgia

Duyung Legenda Aurora hidupkan kembali watak nostalgia

Puteri Alia Zarifah Zanaruddin

am@hmetro.com.my

Walaupun sudah lebih sedekad ditayangkan, filem Duyung (2008) kekal sebagai antara naskhah tempatan yang mendapat tempat istimewa di hati peminat filem tempatan.

Gabungan elemen fantasi, komedi dan mesej kemanusiaan menjadikan beberapa babaknya terus melekat dalam ingatan, sekali gus membentuk identiti unik filem berkenaan.

Antara babak paling ikonik ialah komunikasi tanpa dialog membabitkan watak Orix lakonan Yassin Yahya yang tidak boleh bercakap, namun memainkan peranan penting dalam penceritaan.

Orix cuba menyampaikan kewujudan Puteri lakonan Maya Karin kepada Jimmy (Saiful Apek) melalui bahasa isyarat dan reaksi fizikal yang kelam-kabut, tetapi mencuit hati.

Dalam babak pulau terapung binaan Jimmy, Orix menjadi individu pertama menyedari kehadiran Puteri, namun usahanya memberi isyarat kepada Jimmy yang sedang tidur tidak difahami, sekali gus mencetuskan situasi komedi yang menghiburkan.

Babak Orix mencuri makanan juga antara detik paling mencuit hati dan sukar dilupakan. Ketika Jimmy leka di pesisir pantai atau di pulau terapung, Orix yang sentiasa lapar mengambil peluang menghabiskan makanan rakannya secara senyap.

Apabila perbuatannya disedari, Orix dengan selamba menggunakan bahasa isyarat serta mimik muka untuk menyalahkan burung-burung di sekeliling. Gabungan ekspresi wajah Orix dan reaksi spontan Jimmy menjadikan adegan itu lucu serta bersahaja.

Di sebalik elemen komedi dan fantasi, ‘Duyung’ turut menyajikan babak emosi yang menyentuh perasaan menerusi kisah cinta segi tiga antara Jimmy, Aspalela (Yasmin Hani) dan Puteri.

Bagi Jimmy, Aspalela ialah cinta sejatinya walaupun dirinya sering dipandang rendah.

Dalam diam pula, Puteri yang sentiasa membantu dari dalam laut memendam perasaan apabila kasih sayang Jimmy jelas tertumpu kepada Aspalela.

Perasaan cemburu dan kesedihan akhirnya membawa kepada pengorbanan apabila Puteri menghadiahkan dua kotak emas kepada Jimmy supaya dia memiliki ‘tanah’ dan kekayaan untuk berkahwin dengan Aspalela, sekali gus menonjolkan tema cinta sejati, keikhlasan dan pengorbanan yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Turut menjadi antara babak paling memukau ialah adegan Puteri membawa Jimmy menerokai keindahan dasar laut.

Visual hidupan marin yang indah diperkukuh dengan iringan lagu runut bunyi filem, komunikasi tanpa dialog melalui renungan mata serta gerak tubuh yang lucu namun menyentuh hati menghidupkan babak tersebut.

Empat babak ikonik ini hanyalah sebahagian daripada keajaiban yang ditawarkan Duyung (2008).

Kini, kisah keajaiban laut itu kembali menerusi sekuel terbaharu, ‘Duyung Legenda Aurora’ yang menjanjikan pengembaraan baharu lebih menghiburkan, penuh fantasi dan emosi sebagai pilihan hiburan seisi keluarga pada hujung tahun ini.

Mengangkat gabungan elemen mitos, kekeluargaan, pengembaraan dan humor, naskhah arahan Prof Datuk Dr A Razak Mohaideen itu bukan sekadar hiburan ringan.

Malah, ia juga sarat dengan mesej tentang kasih sayang, pengorbanan dan keberanian menerusi sentuhan visual fantasi yang segar serta jalan cerita yang unik, menjanjikan pengalaman sinematik penuh warna-warni.

Naskhah terbaru ini mengisahkan kemunculan semula Puteri Duyung yang terpaksa memohon bantuan manusia demi menyelamatkan anaknya.

Dibarisi pelakon terkenal seperti Maya Karin, Anna Jobling, Saiful Apek dan Yusry KRU, karya ini dijangka menghidupkan semula fenomena legenda duyung tempatan dalam skala sinematik lebih moden.

Antara tarikan utama ialah kemunculan semula watak Puteri Duyung lakonan ikonik Maya Karin, yang diberi nafas baharu tanpa menghilangkan pesona dan keanggunan yang pernah memikat penonton sebelum ini.

Elemen nostalgia itu bukan sahaja membangkitkan memori penonton lama, malah memperkenalkan semula watak legenda tersebut kepada generasi baharu.

Dari segi penceritaan, filem ini bijak mengimbangi komedi ringan dengan emosi kekeluargaan yang menyentuh hati.

Hubungan antara Puteri Duyung (ibu) dan Aurora (anak) menjadi nadi utama cerita, diserikan dengan watak-watak sampingan yang menghiburkan.

Lawak jenaka diketengahkan pula tidak berlebihan, sebaliknya melengkapkan naratif dan sesuai untuk tontonan pelbagai peringkat usia.

Barisan pelakon turut mencuri tumpuan dengan karakter ikonik masing-masing.

Anna Jobling membawakan watak Aurora manakala Saiful Apek tampil sebagai Jimmy dengan gaya komedi tersendiri.

Yusry KRU memberi dimensi antagonis menerusi watak Dr Evo, sementara Yassin Yahya sebagai Orix berperanan sebagai pembantu yang mencuit hati yang mudah diingati.

Kehadiran pelawak kumpulan Zero iaitu Atu dan Syaiful serta pelakon lain turut menambah warna dan dinamika kepada setiap babak.

Duyung Legenda Aurora dilihat sebagai pilihan ideal untuk tontonan seisi keluarga kerana jalan cerita yang ringan dan mesej positif.

Malah, elemen pengembaraan menjadikan filem yang sedang ditayangkan ini bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman komedi fantasi yang mampu menyatukan keluarga di musim cuti hujung tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top