LONDON: Sean Dyche menempelak pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kerana menyebut nama pemain Burnley yang dirasakannya terlalu agresif ketika saingan Liga Perdana, Sabtu lalu.
Klopp menyebut nama penyerang Burnley, Ashley Barnes dan Chris Wood apabila dia mengkritik pegawai perlawanan kerana membenarkan pelawat terlalu fizikal ketika Liverpool menang 2-0 di Anfield.
Pengendali dari Jerman itu berkata dia “tidak 100 peratus pasti jika kita berada di arah yang betul dengan keputusan seperti ini” dan menegaskan keperluan untuk melindungi pemain.
Namun Dyche tidak gembira dengan tindakan Klopp menyatakan secara umum pandangannya.
“Saya kecewa dia menyebut nama pemain. Langsung tiada keperluan untuk melakukannya,” kata Dyche hari ini.
“Kami memiliki pemain profesional yang bekerja sangat keras dalam karier mereka untuk sampai ke tahap mereka mahukan.
“Fikirkan mengenai implikasi terhadap mereka yang dipersalahkan kerana sebahagian cabaran dilakukan, saya rasa itu salah, saya rasa ia tidak sepatutnya.
“Pada pandangan saya, saya tidak bimbang dengan tindakan melindungi pemain, kerana saya rasa pemain dilindungi pada tahap yang saya sendiri tidak percaya terjadi sepanjang sejarah saya dalam perlawanan – dan saya rasa ia betul dalam sebahagian kes.
“Kebimbangan saya ialah dia mempersoalkan bahawa pasukan tidak seharusnya melakukan apa sahaja untuk menang perlawanan mengikut undang-undang, seperti yang kami lakukan, kerana tiada satu pun kad dilayangkan.” – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




