Eain Yow kandas seawal pusingan pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kaherah: Pemain skuasy nombor satu negara, Ng Eain Yow menampilkan persembahan terbaik menentang pemain nombor 17 dunia, Omar Mosaad namun akur tewas dalam perlawanan pusingan pertama Kejohanan Skuasy Terbuka Black Ball di Kaherah, Mesir semalam.

Dalam perlawanan yang diadakan di Black Ball Sporting Club itu, Eain Yow tumpas 8-11, 5-11 dan 6-11.

Untuk rekod, ini adalah kekalahan kali kedua pemain ranking nombor 27 dunia itu kepada pemain sama musim ini sejak Kejohanan Canary Wharf Classic Mac lalu di England yang menyaksikan atlet negara itu tumpas 7-11, 14-12, 11-8 juga pada perlawanan pusingan pertama.

“Saya fikir saya melakukannya dengan baik, tetapi beliau terus mengasak daripada pukulan pertama. Beliau tidak beri saya peluang, apa yang saya boleh buat sekarang adalah melihat semula, cuba dan lakukannya dengan lebih baik”, kata pemain berusia 22 tahun itu.

Selepas ini, Mosaad akan berhadapan rakan senegaranya, Ali Faraq dalam perlawanan pusingan kedua pada hari Selasa.

Terdahulu, Faraq yang merupakan pemain nombor satu dunia mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Iker Pajares Bernabeu dari Sepanyol dengan 11-13, 11-3, 11-3 dan 11-7 di pusingan pertama.

Sumber: HM

Akmal Hakim
Sports Desk