Bung Mokhtar dilantik pemangku presiden SAFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kota Kinabalu: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada hari ini.

Pelantikan Bung Moktar juga mendapat persetujuan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor menurut Timbalan Presiden SAFA, Datuk Abdul Rahman Zakaria yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan.

Perkembangan terbaru kepemimpinan SAFA itu diumumkan Abdul Rahman selepas mesyuarat tergempar yang diadakan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA pada hari ini.

“Kami sebulat suara memberi kepercayaan kepada Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah untuk memimpin badan bola sepak ini dan beliau juga sudah menyatakan persetujuan dengan pelantikan itu”, katanya.

Abdul Rahman berkata mereka yakin bahawa Ahli Parlimen Kinabatangan itu adalah individu sesuai dan paling layak untuk memimpin SAFA sehingga mesyuarat agung pemilihan pada awal 2022.

“Kami barisan AMT akan memberi sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya kepada beliau (Bung Moktar) untuk menerajui SAFA demi kemajuan bola sepak di negeri ini”, katanya.

Beliau juga yakin Bung Moktar mampu menerajui persatuan itu dengan baik ke arah meningkatkan lagi imej sukan bola sepak di Sabah.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan pengalaman Bung Moktar yang sebelum ini pernah terlibat dalam pembentukan kelab FELCRA Football Club (FC) dalam saingan Liga Malaysia.

“Kita sedar dan tahu beliau memiliki pengetahuan dalam soal berkaitan bola sepak. Ini sudah tentu akan membantu SAFA untuk berfungsi dengan lebih baik”, katanya lagi.

Sebelum ini, jawatan Presiden SAFA kosong akibat peletakan jawatan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony mengambil alih kepemimpinan SAFA bermula pada tahun 2018.

Sumber: BH Online

Akmal Hakim
Sports Desk