WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memulangkan kira-kira AS$100 bilion (RM408 bilion) kutipan tarif selepas Mahkamah Agung negara itu memutuskan penggunaan kuasa darurat untuk mengenakan duti sedemikian terhadap puluhan rakan dagang adalah tidak sah, menurut pegawai kastam.
Sebelum keputusan Mahkamah Agung AS pada Februari, pentadbiran Trump mengutip kira-kira AS$166 billion (RM678 bilion) daripada pengimport di negara itu menerusi pelaksanaan tarif berkenaan.
Dalam dokumen yang difailkan di mahkamah pada Selasa, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) memaklumkan pihaknya sudah memulangkan lebih tiga perempat daripada AS$128.68 billion (RM526 bilion) hasil kutipan tarif yang dikenal pasti sebagai ‘bayaran balik berpotensi dan diperakui’.
“Sistem perakaunan kewangan CBP menerima kemas kini daripada Perbendaharaan yang menunjukkan bayaran balik yang diperakui oleh jabatan itu sedang disalurkan secara berperingkat,” kata Pengarah Eksekutif Direktorat Dasar dan Program Perdagangan CBP, Brandon Lord dalam dokumen yang difailkan di Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS.
Dalam keputusannya, Mahkamah Agung memutuskan Trump telah melangkaui kuasanya apabila menggunakan Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) 1977 untuk mengenakan tarif berkaitan ubat penahan sakit opioid sintetik iaitu fentanyl terhadap Kanada, Mexico dan China. Ia merangkumi tarif timbal balik yang lebih meluas ke atas lebih 90 negara.
Trump ketika itu mengecam keputusan berkenaan dan melabelkan enam hakim yang memutuskan terhadapnya sebagai ‘bodoh serta pak turut’ kepada parti Demokrat.
Bagaimanapun, keputusan itu tidak membatalkan tarif ke atas sektor tertentu yang dikenakan di bawah Akta Pengembangan Perdagangan 1962, sekali gus mengekalkan duti ke atas import seperti keluli, kenderaan dan tembaga.
Susulan keputusan itu, Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS pada Mac memutuskan syarikat yang terjejas akibat tarif yang dibatalkan berhak menerima bayaran balik.
Trump bagaimanapun terus memperkenalkan tarif baharu selepas keputusan mahkamah tersebut.
Bulan lalu, pentadbirannya mengumumkan tarif antara 10 hingga 12.5 peratus ke atas import dari puluhan negara yang didakwa gagal mengambil tindakan mencukupi bagi membanteras amalan buruh paksa.
Pada Isnin, gabungan 25 negeri AS, termasuk New York, California, Arizona dan Colorado, memfailkan tindakan undang-undang bagi mencabar tarif terbaharu itu dengan mendakwa langkah itu hanya alasan untuk mengenakan semula tarif yang dibatalkan Mahkamah Agung pada Februari. – AGENSI




