syafil.syazwan@hmetro.com.my
Peminat muzik disko dan pop era 70-an kini boleh tersenyum lebar apabila kumpulan tribute ABBA, Björn Again bakal menggegar pentas Zepp Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah Björn Again – The ABBA Forever Tour pada 12 Ogos depan.
Kehadiran kumpulan yang diiktiraf secara rasmi oleh anggota asal legenda muzik dari Sweden itu sekali gus mengubati kerinduan peminat tempatan selepas lebih sedekad tidak membuat persembahan di negara ini.
Pada sidang media virtual baru-baru ini, anggota kumpulan itu, Benny Anderwear berkata, dia dan rakan sangat teruja untuk menemui penonton Malaysia yang terkenal dengan sorakan dan tenaga luar biasa.
“Kami tahu penonton Malaysia adalah antara yang terbaik. Mereka suka menyanyi, menari dan bersenang-senang.
“Walaupun kali terakhir kami beraksi di Kuala Lumpur kira-kira 12 hingga 15 tahun lalu, kenangan indah serta kasih sayang penonton di sini sentiasa membuatkan kami mahu kembali,” katanya.
Sementara itu, rakannya Agnetha Falstart berkata, biarpun sudah 37 tahun beraksi di seluruh pelosok dunia, misi mereka tetap sama iaitu menyebarkan kegembiraan menerusi seleksi lagu ABBA yang tidak lapuk dek zaman.
Mengulas mengenai keunikan konsert berkenaan, Benny menyifatkan persembahan mereka sebagai konsert mesra keluarga yang merentasi jurang generasi.
“Di konsert kami, adalah perkara biasa untuk melihat dua hingga tiga generasi hadir bersama. Daripada mereka yang membesar dengan lagu ABBA, peminat muzikal Mamma Mia! sehinggalah anak-anak dan cucu mereka.
“Lagu-lagu ciptaan Benny Andersson dan Björn Ulvaeus bertahan merentasi zaman melebihi 50 tahun. Ia bukti kekuatan karya mereka.
“Tambahan pula, konsert kami adalah persembahan keluarga yang ‘bersih’, tanpa bahasa kesat atau unsur tidak sopan,” katanya.
Bagi memastikan persembahan berdurasi dua jam setengah itu memberikan pengalaman terbaik, pelbagai elemen kejutan dirancang termasuk penambahbaikan dari segi kostum, susunan muzik, pertunjukan lampu dan multimedia.
“Kami akan membawakan semua lagu hits seperti Dancing Queen, Fernando, Mamma Mia, Waterloo, Gimme! Gimme! Gimme! dan Take a Chance. Ada lagu disko, balada emosional, malah lagu berunsur rock.
“Bukan itu sahaja, penonton juga bakal dikejutkan dengan unsur jenaka, interaksi pentas dan kejutan santai. Kami juga menggalakkan penonton hadir mengenakan busana bertema 1970-an untuk menyemarakkan lagi suasana retro,” katanya.
Dalam pada itu, Penerbit Eksekutif Shiraz Projects Sdn Bhd Shirazdeen Karim selaku penganjur meluahkan rasa gembira dapat membawakan konsert bertaraf antarabangsa ini selepas persediaan rapi selama enam bulan.
Menurutnya, ganjaran terbesar penganjuran konsert ini bukanlah semata-mata aspek komersial, sebaliknya senyuman dan kenangan indah yang dibawa pulang oleh penonton.
“Memang benar penganjuran konsert ada matlamat perniagaannya, tetapi ganjaran terbesar bagi kami adalah melihat riak wajah peminat sewaktu meninggalkan dewan.
“Apabila mereka katakan ini antara malam terbaik dalam hidup mereka, itu mengatasi segalanya.
“Ia membuatkan segala persiapan, pelbagai halangan dan kerja keras berbaloi apabila objektif utama untuk membahagiakan peminat tercapai. Jarang sekali kita dapat saksikan konsert di mana tiga generasi boleh datang dan menikmati muzik bersama-sama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




