UEFA kekal boikot Piala Dunia, hilang kepercayaan terhadap Infantino

UEFA kekal boikot Piala Dunia, hilang kepercayaan terhadap Infantino

Zurich: Usaha Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk meredakan krisis dalaman terbesar sepanjang era kepimpinan Gianni Infantino dijangka tidak menamatkan penelitian terhadap cara badan induk bola sepak dunia itu ditadbir apabila Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) menegaskan pada Khamis bahawa mereka kekal dengan pendirian memboikot Piala Dunia, sementara lebih banyak negara menarik balik sokongan terhadap pencalonannya.

Sehari selepas kepimpinan FIFA berhimpun di Rabat bagi menyatakan sokongan terbuka kepada Infantino, badan induk bola sepak dunia itu memohon maaf kepada 211 ahli gabungannya atas kesilapan membabitkan cadangan yang kemudian dibatalkan untuk menjual sebahagian hak komersial Piala Dunia.

FIFA turut berjanji menyemak semula proses yang membawa kepada kontroversi itu, yang mencetuskan penentangan paling hebat sepanjang tempoh kepimpinan Infantino selepas persatuan bola sepak kebangsaan mendakwa mereka diketepikan daripada proses membuat keputusan.

UEFA menegaskan syarat utama mereka untuk kembali menyertai kejohanan anjuran FIFA masih belum dipenuhi.

“Pertama, cadangan untuk menjual kepentingan dalam kejohanan utama perlu ditarik balik dan kedua, jaminan perlu diberikan bahawa cubaan mencemarkan bola sepak dengan cara ini tidak akan berulang lagi,” kata UEFA dalam satu kenyataan.

“Syarat itu masih belum dipenuhi. Selain itu, UEFA sudah menjelaskan dalam kenyataan pada Sabtu lalu bahawa kami hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Gianni Infantino. Pendirian itu kekal.”

UEFA turut menyatakan sokongan kakitangan FIFA yang bergantung kepada restu Infantino untuk kerjaya mereka tidak mengubah pendirian badan itu.

Bagaimanapun, UEFA tidak menyatakan sama ada pasukan mereka akan memboikot kejohanan FIFA seterusnya iaitu Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun di Poland bulan depan.

Sementara itu, FIFA memaklumkan semakan akan dijalankan sebelum laporan dibentangkan kepada Majlis FIFA pada mesyuarat akan datang. Nada berdamai itu nyata berbeza berbanding kritikan terbuka yang semakin memuncak sehingga memaksa badan itu menarik balik cadangan berkenaan.

Namun, FIFA kini tidak lagi dapat mengelak daripada menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh konfederasi, liga dan persatuan bola sepak kebangsaan mengenai cara keputusan strategik utama dibuat.

Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) turut melahirkan kebimbangan terhadap “tindakan unilateral yang berulang tanpa melalui proses dialog”, sambil menegaskan kepentingan reformasi institusi yang diperkenalkan FIFA lebih sedekad lalu bagi meningkatkan ketelusan.

“CONMEBOL tidak akan menyokong sebarang tindakan atau prosedur yang mengabaikan atau menyimpang daripada mekanisme institusi ini.

“Majlis CONMEBOL menyeru supaya perpaduan dalam keluarga bola sepak dipelihara, semua pihak bertindak dengan tanggungjawab institusi, memperkukuhkan dialog serta menghormati sepenuhnya mekanisme tadbir urus,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top