PST catat peningkatan sepanjang PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Johor Bahru: Pasar Segar Terkawal (PST) di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) seluruh negara mencatatkan nilai jualan RM409.16 juta sejak diwujudkan Mac hingga November lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia melibatkan 48 PST yang bertujuan memastikan kelangsungan bekalan dan kecekapan pengedaran bekalan makanan negara sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, PST menawarkan pelbagai barangan runcit termasuk sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan dan daging berkualiti serta 10 peratus lebih murah dari tempat lain kerana tanpa melalui orang tengah.

“PST dibuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya rakyat dapat berbelanja dalam keadaan selamat dan terkawal.

“Nilai jualan PST di Johor sejak Mac lalu meningkat iaitu RM41,233 (Mac), RM342,556 (April), RM652,224 (Mei), RM321,778 (Jun), RM252,442 (Julai), RM282,566 (Ogos), RM224,760 (September), RM265,122 (Oktober) dan RM280,013 (November),” katanya pada sidang media selepas melawat melawat Pasar Tani Kekal Permas Jaya di sini.

Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhamad dan Pengarah FAMA Johor, Shahrizan Sudiman.

Ahmad berkata, FAMA belum bercadang menambah bilangan PST tahun depan kerana jumlah sedia ada sudah mencukupi walaupun mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Katanya, terdapat lima PST di negeri ini melibatkan 273 usahawan yang berjaya mencatatkan nilai jualan RM26 juta iaitu PST Datin Halimah dan PST Permas Jaya di Johor Bahru, PST Bukit Gambir di Muar serta PST Mersing dan PST Endau di Mersing.

 

 

ZA137 Malay News

National Desk