Ejen pelaburan didakwa sebar, simpan gambar lucah guru yang juga madunya

Ejen pelaburan didakwa sebar, simpan gambar lucah guru yang juga madunya

am@hmetro.com.my

Melaka: Ejen pelaburan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan termasuk menyebar dan menyimpan gambar lucah seorang guru yang juga madunya, pada Mac lalu.

Tertuduh, Herni Sofini Omar, 53, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Utman Abd Ghani sejurus dibaca dan diterangkan pertuduhan itu oleh jurubahasa mahkamah sert minta dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama dia didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 45 tahun (pengadu) dengan menyebarkan gambar lucah melalui kiriman surat.

Herni Sofini didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK), jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menyampaikan ugutan jenayah terhadap pengadu sama melalui surat tanpa nama yang menyembunyikan identitinya pada masa, tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 KK, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, selain hukuman yang ada diperuntukkan bagi kesalahan itu oleh Seksyen 506 KK.

Tertuduh didakwa melakukan kedua-dua perbuatan itu di Jalan Meranti 3, Taman Sayang Selasih, dekat sini pada 27 Mac lalu, kira-kira jam 2 petang.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh pada 6 Jun lalu, kira-kira jam 3 pagi bertempat di Pejabat Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah didapati memiliki gambar lucah milik pengadu sama di dalam telefon bimbitnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 292 KK, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan RM24,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, namun peguam Baharudin Baharim merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dan menanggung empat anak, tiga daripada bersekolah.

Katanya, tertuduh yang ditinggalkan suami sejak kes itu tiada risiko melarikan diri malah bekerjasama penuh dengan polis dalam siasatan kes itu.

“Anak guam saya juga baru didiagnosis menghidap barah dan sudah menjalani pembedahan, pohon jaminan keseluruhan RM4,000.

“Pembelaan juga memohon kepada mahkamah perintah agar pihak pengadu tidak membuat sebarang kenyataan di media sehingga perbicaraan kes itu selesai,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan sementara dengan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Harian metro sebelum ini melaporkan seorang ejen pelaburan direman dua hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel guru wanita yang juga madunya, Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top