Ejen sindiket seludup Pati cuba sogok polis RM50,000 direman 3 hari

Ejen sindiket seludup Pati cuba sogok polis RM50,000 direman 3 hari

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Seorang ejen sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (Pati) direman tiga hari bagi membantu siasatan cubaan menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000.

Perintah reman sehingga Ahad ke atas lelaki 25 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas menerima permohonan daripada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek dikatakan cuba menyogok pegawai polis bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong terbabit penyeludupan Pati.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, lelaki itu yang memakai baju lokap SPRM tiba di Mahkamah Kota Bharu dengan diiringi oleh pegawai SPRM.

Media sebelum ini melaporkan tindakan ejen sindiket cuba menyogok pegawai polis dengan wang tunai RM50,000 bagi melepaskan dirinya dan tiga tekong terbabit penyeludupan Pati di Jalan Sri Cemerlang dan Jalan Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan pada 9 Disember lalu, mengundang padah apabila ditahan polis, 7 Disember lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mereka ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan, dijalankan sepasukan Briged Tenggara dan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top