PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku kedua tahun ini yang berkembang sebanyak 5.8 peratus mengatasi unjuran awal mencerminkan daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global susulan krisis Asia Barat dan gangguan rantaian bekalan dunia.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebelum ini menganggarkan ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh berbanding 5.4 peratus pada suku pertama tahun ini dan 5.2 peratus bagi keseluruhan 2025.
Prestasi tersebut juga melepasi unjuran 5.2 peratus yang dibuat penganalisis dalam tinjauan Bloomberg.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan itu dipacu oleh prestasi kukuh sektor perkhidmatan, pembuatan, perlombongan dan pengkuarian serta pembinaan.
Menurutnya, secara keseluruhan ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus bagi separuh pertama 2026 berbanding 4.5 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Dalam kalangan ekonomi serantau yang telah mengumumkan anggaran pertumbuhan suku kedua 2026, Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.8 peratus.
“Ia mengatasi Singapura yang berkembang 5.7 peratus dan China sebanyak 4.3 peratus, manakala Vietnam merekodkan 8.4 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan Kerangka Ekonomi Madani berjaya memperkukuh keupayaan negara mengekalkan pertumbuhan yang mampan meskipun dunia terus berdepan pelbagai ketidaktentuan.
Ujarnya, Kerangka Ekonomi Madani telah memperkukuh keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang lestari, kendatipun dunia terus dilanda keberantakan.
“Kerajaan menyedari masih ramai rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan tekanan akibat tempias krisis global.
“Kerajaan telah menggerakkan Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) sejak April lalu bagi mengenal pasti bekalan kritikal dan mendapatkan sumber alternatif, selain menyediakan sokongan pembiayaan melebihi RM15 bilion kepada PMKS serta usahawan mikro,” katanya.
Menurutnya, kadar inflasi negara kekal terkawal pada 1.9 peratus bagi suku kedua 2026 walaupun Malaysia turut terkesan dengan gangguan bekalan global.
“Kerajaan juga mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah Budi Madani RON95 pada RM1.99 seliter selain memperkenalkan BUDI MADANI Diesel pada RM2.10 seliter kepada golongan yang layak bagi mengurangkan beban kos sara hidup dan operasi perniagaan.
“Ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat, pertumbuhan ekonomi yang mampan serta disiplin fiskal negara terus dipelihara,” katanya.- UTUSAN




