Ekonomi di Malaysia dilihat masih belum banyak dikuasai oleh orang Islam, justeru wakaf perlu diperkasakan sebagai instrumen penting untuk membina kekuatan ekonomi masyarakat sekali gus meningkatkan kesejahteraan ummah.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Dr. Ridzwan Bakar berkata, wakaf mempunyai peranan lebih besar dalam membangunkan ekonomi secara mampan berbanding pendekatan bantuan semata-mata.
Menurut beliau, zakat memainkan peranan penting dalam membantu golongan asnaf, namun wakaf mampu mewujudkan aset ekonomi yang menjana manfaat berterusan kepada masyarakat.
“Bila kita nak majukan sesebuah negara, kita kena kukuhkan ekonomi. Ekonomi di Malaysia ini bukan dikuasai oleh orang kita, orang Islam. Jadi kita perlu memperkasakannya.
“Zakat bukan memperkasakan ekonomi. Zakat hanya membantu keperluan fakir miskin dan golongan asnaf dalam jangka pendek. Tetapi wakaf adalah instrumen penting untuk membina ekonomi,” katanya dalam OMM Podcast.

Beliau berkata, YWM telah mengambil pendekatan membangunkan aset wakaf termasuk menerusi projek hotel wakaf yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Ujarnya, pembangunan hotel wakaf bukan sahaja mengubah tanah wakaf kosong menjadi aset bernilai, malah mewujudkan peluang pekerjaan dan rantaian ekonomi baharu.
“Bila Yayasan Waqaf Malaysia bangunkan hotel wakaf, kita bina aset wakaf daripada tanah yang sebelum ini kosong.
“Nilainya boleh mencecah RM30 juta hingga RM40 juta dan duit untuk membangunkan hotel itu juga adalah daripada dana wakaf.
“Bila hotel itu beroperasi, kita menjana ekonomi setempat. Pekerja-pekerja kita lebih kurang 95 hingga 96 peratus adalah anak-anak kampung daripada golongan asnaf dan B40,” ujarnya.
Dr. Ridzwan berkata, operasi hotel turut membantu membangunkan ekosistem pembekal tempatan kerana keperluan seperti makanan dan perkhidmatan boleh diperoleh daripada komuniti sekitar.

Selain memberi peluang pekerjaan, beliau berkata hasil daripada operasi hotel wakaf turut memberi manfaat secara langsung kepada institusi masjid.
“Hotel perlukan ikan, ayam dan pelbagai keperluan lain. Siapa yang bersama-sama kita? Orang kita juga. Jadi ekonomi pun kita kembangkan.
“Setiap bulan kami beri masjid RM3,000. Masjid tidak meminta, tetapi kita beri sebab ada hasil daripada operasi itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tahap literasi wakaf dalam kalangan masyarakat masih perlu dipertingkatkan bagi memastikan konsep wakaf produktif dapat difahami dengan lebih meluas.
Menurutnya, pembangunan wakaf memerlukan perancangan jangka panjang kerana hasilnya tidak boleh dilihat dalam tempoh singkat.
“Kita nampak perkembangan yang sangat positif, cuma perlukan sokongan semua pihak.
“Bukan sekadar kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, tetapi sektor korporat serta masyarakat keseluruhannya.
“Wakaf ini memerlukan perancangan jangka panjang. Kalau nak bina hospital, prosesnya mengambil masa bertahun-tahun sebelum impaknya dapat dilihat,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan supaya pendidikan berkaitan wakaf, zakat dan sedekah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah bagi membina budaya berwakaf sejak usia muda.
Jelasnya, statistik YWM menunjukkan golongan warga emas masih menjadi penyumbang utama wakaf ketika ini, manakala wanita merupakan kumpulan yang lebih ramai berwakaf berbanding lelaki.
“Berdasarkan statistik kami, yang banyak berwakaf ini adalah golongan warga emas.
“Kebanyakan yang berwakaf di Malaysia adalah perempuan. Lelaki kurang berwakaf mungkin kerana tanggungjawab mereka lebih besar,” jelas beliau.
Selain itu, Dr. Ridzwan berkata, masyarakat juga perlu melihat wakaf dalam konteks lebih luas dengan beralih daripada konsep wakaf tradisional kepada wakaf yang mampu menjana ekonomi.
Menurutnya, wakaf al-Quran yang biasa dilakukan masyarakat adalah sebahagian daripada amalan wakaf tradisional, namun pendekatan baharu diperlukan bagi menghasilkan impak ekonomi lebih besar.
“Wakaf al-Quran itu termasuk dalam perspektif wakaf tradisi atau Wakaf 1.0.
“Wakaf 2.0 yang kita mahu dorong ialah wakaf yang membangunkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu masyarakat keluar daripada kesusahan,” katanya.

Beliau turut mengakui kekurangan dana menjadi antara cabaran utama dalam memperluaskan lagi projek pembangunan berasaskan wakaf.
Katanya, sokongan masyarakat amat diperlukan supaya lebih banyak aset wakaf dapat dibangunkan.
“Kalau dana terhad, macam mana kita hendak melaksanakan lebih banyak projek?
“Sebab itu kita minta masyarakat berwakaf dengan Yayasan Waqaf Malaysia. Percayalah kepada kami kerana kita diuruskan oleh golongan profesional dan kita menjaga amanah itu,” ujar Dr. Ridzwan.
Dalam pada itu, Dr. Ridzwan menjelaskan masih terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat mengenai konsep hotel wakaf, termasuk tanggapan bahawa penginapan ditawarkan secara percuma.
Menurut beliau, hotel wakaf tetap beroperasi secara komersial namun dengan matlamat memastikan manfaat ekonomi kembali kepada masyarakat.
“Ramai yang tanya saya, masuk hotel wakaf ini percuma ke? Jawapannya, sama seperti hotel biasa. Kalau datang makan atau menginap, tetap ada bayaran.
“Cuma harga kita kompetitif dan hasilnya digunakan untuk memastikan hotel itu terus hidup, menyediakan pekerjaan serta mengekalkan aset wakaf,” katanya.
Mengulas mengenai projek hospital pakar bercirikan wakaf, beliau berkata, fasiliti itu bukan dibangunkan sebagai hospital percuma sebaliknya sebagai hospital pakar yang menggunakan model wakaf bagi menyokong pembangunan kesihatan.

Katanya, kos membina dan mengendalikan hospital pakar memerlukan dana besar, justeru model wakaf menjadi salah satu alternatif untuk melengkapkan usaha sedia ada.
“Hospital wakaf kita ialah hospital pakar bercirikan wakaf.
“Tidak mungkin kami memberikan rawatan percuma kepada semua kerana kos doktor pakar, mesin dan teknologi semuanya melibatkan kos yang tinggi,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, beliau berkata, golongan asnaf masih berpeluang mendapatkan rawatan menerusi kerjasama dengan institusi zakat dan Majlis Agama Islam Negeri.
“Kalau seseorang itu asnaf, kita boleh berbincang dengan majlis agama Islam negeri atau lembaga zakat negeri masing-masing untuk melihat bagaimana kos rawatan boleh ditanggung.
“Jadi ini adalah alternatif yang kita berikan. Bukan bermaksud asnaf tidak boleh masuk, tetapi kita cari mekanisme untuk membantu mereka,” kata beliau.

Tambahnya, hospital pakar bercirikan wakaf pertama dijangka siap pada 2028 di Semenyih, Selangor sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain.




