Ekstasi

TIGA hari aku sudah aku di sini. Menginap di sebuah rumah inap desa. Dalam daerah Belawai, Sarawak. Aku menggunakan perkhidmatan van dari agensi pelancongan domestik di Kuching. Perjalanan hampir seharian. Harus melalui jambatan demi jambatan yang menyeberangi puluhan sungai. Aku pernah menaiki bas dari Batu 3, Kuching sehingga ke pintu utama Hotel Mega Miri. Ia perjalanan sureal. Masakan tidak, sebaik sahaja keluar dari dalam bas, suasana sudah gelap di bandar Miri, sedangkan jam baru menunjukkan pukul 6.40 petang. Sebagai warga Sarawak (jarang keluar daripada daerah Kuching), aku berasa malu dengan situasi yang baru ditempuhi itu. Sebagaimana seseorang itu menyedari bahawa kain corak pua kumbu adalah ciptaan asli etnik Iban. Tetapi sebab apa aku terlempar di sini? Tanpa internet. Terlentang atas pasir merenung langit dan laut? Konon ingin melarikan diri daripada masyarakat. Beberapa minit kemudian. Entah apa merasuk, aku bangkit. Mencelupkan kaki ke dalam air, dan mula berenang dan terus berenang sehingga melepasi Lautan Pasifik. Apa yang aku buat? Betulkah tindakan aku sekarang? Segala yang berkaitan dengan kehidupan di dunia menyesak fikiran. Tumpukan buku, kopi yang masih panas di meja tulis, kucing-kucing peliharaan, jiran yang kerap membuat bising pada sebelah malam, pemabuk di hujung minggu di depan kondominium, cita-cita yang tidak kesampaian dan keanehan sistem pengurusan negara. Kemudian, segala-galanya gelap. Tubuh aku berasa ringan. Melayang-layang bak kapas ditiup angin. Aku tiada lagi di alam nyata. Adakah roh aku sudah berpisah dengan jasad? Jika begitu, aku sudah pun mati. Aku menyedari hakikat itu. Anda boleh menemui beg sandang milikku, berisi kamera dan sebuah buku, tersangkut di belakang pintu bilik rumah inap desa. Aku sudah letih mengarang cerita tentang kepelikan manusia. Tidak semuanya memuaskan dan memang tidak akan tercapai kesempurnaan dalam seni. Disebabkan itu, aku memilih lokasi terpencil untuk melaksanakan pengembaraan terakhir di planet serba bercelaru ini. Ya, di sini terasa sesuai. Berhampiran dengan laut. Orang-orang di sini tidak mengenali aku. Dan bertanya apa urusan lelaki bodoh seperti aku datang ke sini. Kebiasaannya, di kawasan percutian ini sentiasa meriah. Setiap hujung minggu penuh dengan kunjungan dari orang-orang luar dan tempatan. Bahkan jurulatih bola sepak Bojan Hodak turut bersantai di sini. Acara-acara kemasyarakatan, membina istana pasir, sukan air, bola sepak pantai, tarik tali dan tarian-tarian yang dihadiri para tokoh daripada parti politik. Sekarang keadaannya sudah jauh berbeza. Seperti disumpah oleh jembalang. Sunyi sepi total. Beberapa pekerja leka memegang telefon pintar dengan kedua-dua kaki naik di atas meja dan menikmati tiupan angin dari laut. Perniagaan jatuh merudum dan aku dimaklumkan oleh pemilik rumah inap desa, mereka hampir-hampir berniat untuk menutup perniagaan. Bantuan kerajaan tidak membantu untuk mengimbangi margin kerugian mereka. Tetapi itu bukan masalah aku. Apa yang menambat perhatian sekarang ialah laut di depan mata aku. Aku ingin pergi jauh dari daratan ini. Gelombang musim tengkujuh menghempas kuat ke pantai. Langit sentiasa mendung dan suram kelabu. Nelayan-nelayan menghentikan operasi menangkap ikan. Tiada aktiviti keraian di sini. Orang-orang yang datang ke sini hanya singgah untuk menikmati makanan laut. Barangkali aku seorang yang memutuskan untuk tinggal di rumah inap desa dalam keadaan cuaca buruk sebegitu. Atas faktor-faktor itu, aku berasa beruntung kerana memilih ke sini. Editor majalah sastera yang baru sahaja muncul di pasaran, (memasuki edisi ketiga), menghubungi aku. Memberi satu tugasan. Nama majalah sastera itu, Kosmopolitan. Dicetak dua ratus naskhah. Diedarkan ke beberapa rangkaian kedai buku ternama dalam negara. Memandangkan kes wabak COVID-19 kian berkurangan (namun meningkat semula) dan pihak kementerian kesihatan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (dan malah memperketatkan kawalan), anda boleh mendapatkannya di Kinokuniya, KLCC. Majalah Kosmopolitan turut dijual secara dalam talian. Dalam isu-isu sebelum ini, editor menjemput tokoh-tokoh aktivis politik berhaluan kiri, agamawan reformis, artis (berbakat dan kontroversi) dan ahli sukan muda pujaan semua lapisan masyarakat untuk berkongsi pengalaman-pengalaman mereka. Secara teknikalnya, aku bukan wartawan. Tugas yang diamanahkan kepada aku ialah pergi secara solo (kos ditanggung sendiri) mewawancara seorang penulis cerpen. Kononnya menghilangkan diri setelah menghasilkan kumpulan cerpen terbaharu. Apa alasannya? Gagal menjadi jutawan daripada penulisan? Kecewa dengan kerenah politik dalam sastera? Dan jangan lupa untuk merakam audio dan wajah pengarang eksentrik itu. Profilnya terpampang di kulit depan majalah nanti. Permintaan editor bukan main. Semuanya mesti sempurna. Nasib baik ada sebuah kamera digital untuk memuat naikkan gambar-gambar (tidak banyak yang menekan butang LIKE) ke dalam akaun Instagram. Aku diberi nombor telefon bimbit, alamat terakhir dan buku kumpulan cerpen pengarang itu yang tidak diselak. Minat aku lebih kepada antropologi. Rupa-rupanya penulis itu bukan sejati warga KL. Sebaliknya dari Sarawak. Sebagai orang Sarawak, aku tidak mengenali langsung namanya. Entah mengapa, aku tidak berasa malu atau terkilan dengan kejahilan sebegitu. Sastera sangat alien bagi aku. Seberapa pentingnya individu itu dalam landskap sastera kontemporari? Aku benar-benar kosong. Apatah lagi mengikuti perkembangan sastera Sarawak yang lebih cenderung bercerita tentang permasalahan setempat. Itu maklumat ringkas yang aku tahu. Kedengarannya sahaja agak membosankan. Menurut editor, makhluk nokturnal itu pernah tinggal di Bukit Kiara, kemudian pindah ke Damansara Damai, selepas itu di Selayang Utama, Kerinchi, dan alamat terakhirnya, di bandar Kajang. Selepas itu, pengarang itu bagai hilang dari radar. Jadi, tempat mana aku tuju dahulu? Dompet duit di kocek seluar sama kurusnya dengan fizikal aku. RM500 tidak mencukupi. Dalam bas Rapid KL, aku duduk berfikir. Hebat sangatkah penulisannya? Setanding dengan Kafka, Murakami atau Robert Musil? Mengapa tidak mewawancara Faisal Tehrani? Penulis yang mencetuskan polemik sastera, budaya, teologi dan sahsiah itu. Pasti laris macam tudung selebriti. Tetapi misi aku kini tidak ubah seperti memburu hantu. Aku langsung tidak mengenali raut muka lelaki itu. Adakah dia sentiasa monyok, serius, masam dan memiliki senyuman sinis seperti aktor Willem Dafoe? Bahkan lelaki itu menghindari acara-cara sastera. Hanya wajahnya ketika berusia pertengahan dua puluh tahun tercetak di akhbar. Sekarang, usianya barangkali menuju penghujung empat puluh tahun. Sudah berumah tangga? Bagaimana dia menyara hidup? Teknik apa dipraktikkan dalam cerita-ceritanya? Adakah gaya pertukangannya jauh ke hadapan, melangkaui naratif sasterawan-sasterawan besar (kelazimannya veteran) nasional? Sejujurnya, aku tidak mengikuti perkembangan individu yang bakal aku temu ramah itu nanti. Mengapa aku mengorbankan diri dengan misi yang tidak berfaedah ini? Soalan-soalan apa yang hendak dikemukakan? Adakah sastera tetap relevan pada tahun 2021? Wang atau kebebasan seni, mana yang mustahak? Adakah sastera negara memang sudah jauh ketinggalan? Cerpenis itu (menurut editor) menerbitkan lapan buah kumpulan cerpen. Setiap kali buku kumpulan cerpen lelaki itu muncul di pasaran (diterbit sendiri), para peminat mendiskusikan karya-karyanya di media sosial. Cerpen demi cerpen ditulis, seolah-olah menyelongkar ke dalam setiap inci jiwa lelaki itu. Teknik arus kesedaran mendominasi gaya penceritaannya. Autiobiografi. Penelanjangan karakter. Suatu kaedah yang dipinjam daripada James Joyce, Tahar Ben Jelloun dan seterusnya. Tiada sempadan antara fiksyen dan peribadi penulis. Tetapi, buku-bukunya bukan terlaris di carta-carta rangkaian kedai buku. Setiap buku, (tajuk-tajuk bukunya kedengaran pelik dan berlapisan maksud) disenarai pendek untuk hadiah sastera kebangsaan. Namun, tidak dipilih juri yang lebih condong kepada fahaman ortodoks. Memasuki tempoh seminggu, aku cuma diselaputi habuk dan debu sepanjang perjalanan. Semua alamat tempat sudah aku hampiri. Aku bertanya jiran-jiran yang tinggal bersebelahan dengan tempat kediaman insan aneh itu. Tiada respon positif. Lelaki itu tidak bertegur sapa dengan jiran. Sebaliknya membenamkan dirinya dalam rumah seperti Pedro Salvadores (watak utama dalam cerpen Jorge Luis Borges). Entah bagaimanalah lelaki seperti dia hidup dalam keadaan berkurung sendirian sepanjang masa? Kononnya penulis yang tidak berjaya itu sering memainkan muzik klasik barat dengan nyaring pada lewat malam dan kucing-kucing dalam rumah lelaki itu bertambah dari hari ke hari sehingga menimbulkan kejengkelan ramai jiran. Aku fikir maklumat itu agak berlebihan. Editor sepanjang masa menghantar pesanan-pesanan melalui telefon bimbit tentang misi. Edisi terbaharu majalah Kosmopolitan tidak mungkin dihantar ke kilang pencetak tanpa perkembangan terkini pengarang itu. Aku tertekan. Pergi ke pelbagai destinasi dan pulang dengan kusut-masai. Sebaik sahaja mendarat ke Bumi Kenyalang, aku tidak meletak harapan tinggi untuk beroleh kejayaan. Institusi sastera di sini juga kurang mengenali penulis itu secara personal. Pengarang seperti lelaki itu bukan jenis yang gemar menghubungi mana-mana editor. Tugasnya hanya menghantar karya. Dan bukan untuk bersahabat dengan sesiapa pun. Apatah lagi mempromokan diri di media sosial. Lelaki itu seperti tertimbus di dasar bumi. Sebenarnya, siapa yang aku buru? Jasad pengarang itu atau karya-karyanya? Aku menumbuk meja. Marah dan berasa dipermain-mainkan. Misi gagal, aku mengaku kalah. Nombor telefon pengarang itu tidak membawa faedah untuk tugasan ini. Tiada dalam perkhidmatan. Duit aku tidak diganti. Aku menelefon editor dari sebuah restoran di Lorong Kai Joo Lane, Kuching. Aku menarik diri daripada kerja yang sepatutnya mudah itu. Ketika menikmati hidangan mi jawa, aku membaca sepintas lalu akhbar Utusan Borneo. Bahagian inilah kemuncak kepada depresi penulisan aku di sini. Aku berharap pembaca tidak terkeliru dengan situasi ini. Ia bukan teknik ‘plot wist’. Wajah dan nama terbentang di atas meja menyebabkan genggaman sudu dan garfu pada tanganku terjatuh. Lelaki itu seratus-peratus menyerupai aku. Tidak menghairankan, si malang itu memiliki nama seperti aku. Aku mengeluarkan buku kumpulan cerpen penulis itu. Masih tersimpan dalam beg sandang. Aku bergegas balik ke hotel di belakang Plaza Merdeka. Duduk di tepi katil, aku menyemak sekali lagi laporan akhbar. Pihak polis mengesahkan pengarang itu membunuh diri. Mengelar leher diri di pantai. Kematian mengejut. Sebilah jilet ditemui dengan kesan darah. Tiada kesan pergelutan. Aku curiga dengan laporan itu. Lokasi; di tempat peranginan dalam daerah Belawai. Tempat aku beristirehat seminggu lalu. Tubuhku bahkan masih berbau masin laut. Penyambut tamu, Elizabeth menjadi saksi. Nama dan nombor Kad Pengenalan aku tercatat pada buku pendaftaran. Pada sebelah malam, aku menyusuri Tebing Waterfront; ke mana dia pergi setelah meragut nyawa sendiri? Jadi, dunia apa yang aku diami sekarang? Mimpi, alam roh atau fiksyen? Sambil mendongak ke langit, dengan kedua-dua tangan bergetar atas pagar, aku yakin, dia masih berada di bawah lingkungan kosmos. Tetapi aku telah tersepit di tengah-tengahnya. Dalam teks cerpen tulisan orang yang menyerupai aku. Entah apa merasuk, aku menerjunkan diri ke dalam sungai Sarawak. Aku biarkan beban hidup menenggelamkan tubuh jauh ke dasar ekstasi.

-Pengarang dan pencinta buku ini berasal dari Sarawak dan sudah memenangi pelbagai anugerah sastera antaranya Hadiah Sastera Perdana Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd