El Nino memuncak, Indonesia bersedia hadapi musim paling kering

El Nino memuncak, Indonesia bersedia hadapi musim paling kering

Jakarta: Indonesia sedang bersiap sedia menghadapi kemuncak musim kemarau pada Ogos dan September susulan fenomena El Nino yang semakin kuat dijangka membawa keadaan kering berpanjangan, meningkatkan risiko kebakaran hutan serta memberi tekanan kepada sumber air dan tenaga di sebahagian besar negara itu.

Timbalan Bidang Klimatologi Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Ardhasena Sopaheluwakan berkata ramalan terkini adalah selaras dengan unjuran yang dikeluarkan pada Mac dan Mei iaitu sebanyak 48.8 peratus zon bermusim di Indonesia dijangka mencapai kemuncak musim kemarau pada Ogos manakala 25 peratus lagi dijangka mengalaminya pada September.

“Setakat malam tadi, pemantauan BMKG merekodkan 5,019 titik panas dan trend kumulatif titik panas dari Januari hingga pertengahan Julai 2026 telah meningkat dengan lebih pantas berbanding tahun-tahun El Nino sebelum ini, iaitu pada 2015, 2019 dan 2023,” katanya dalam satu sidang media pada Khamis yang disiarkan secara langsung di YouTube.

Beliau berkata Kalimantan Barat, Papua Selatan dan Riau mencatatkan jumlah titik panas tertinggi, sementara risiko kebakaran hutan diramalkan kekal tinggi antara Ogos dan November, dengan kemuncaknya dijangka berlaku pada Ogos dan September.

Wilayah yang memerlukan perhatian rapi termasuk Riau, Sumatera Selatan, Jambi, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Papua Selatan.

Ardhasena berkata pemantauan terkini menunjukkan indeks Nino 3.4 iaitu penunjuk utama kekuatan fenomena El Nino di kawasan tengah khatulistiwa Lautan Pasifik, telah meningkat melebihi paras 1.56, sekali gus melepasi ambang 1.5 yang menandakan fenomena El Nino yang kuat.

Beliau menambah fenomena Indian Ocean Dipole (IOD) positif, yang berpotensi mengurangkan lagi taburan hujan di beberapa bahagian Indonesia, turut diramalkan akan berlaku antara September dan Disember.

Menurut Ardhasena, musim kemarau yang berpanjangan itu akan memberi kesan kepada pelbagai sektor selain pengurusan bencana.

Katanya maklumat iklim membantu petani menyesuaikan jadual penanaman dan pemilihan varieti tanaman manakala ramalan taburan hujan akan menyokong pengurusan air di loji jana kuasa hidroelektrik.

Beliau berkata suhu yang lebih tinggi dijangka meningkatkan permintaan terhadap bekalan elektrik, sementara penurunan paras air di takungan dan tasik boleh menjejaskan penjanaan kuasa hidroelektrik.

Sehubungan itu, menurutnya peruntukan air yang cekap serta perancangan operasi awal adalah penting bagi memastikan bekalan tenaga yang stabil.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan kesan El Nino terhadap Indonesia akan berkurangan apabila musim hujan bermula sekitar pertengahan Oktober, dengan keadaan yang lebih lembap secara beransur-ansur merebak dari bahagian barat Indonesia pada Oktober dan November, walaupun fenomena tersebut dijangka berterusan sekurang-kurangnya sehingga suku pertama 2027.

– BERNAMA

TAG: Indonesia, el nino, musim kering, BMKG

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top