ELAK GEJALA INSOMNIA

ELAK GEJALA  INSOMNIA

Tidur adalah proses yang sangat penting untuk kesihatan tubuh manusia. Tidur yang cukup adalah penting kerana ia membolehkan organ badan berehat selepas menjalani hari yang sibuk. Seperti yang diketahui, orang dewasa normal memerlukan kira-kira 6 hingga 8 jam untuk mendapatkan tidur yang cukup, manakala kanak-kanak memerlukan lebih banyak tidur untuk proses tumbesaran mereka.

Apa yang berlaku sekiranya kita tidak mendapat tidur yang cukup?

Kesihatan tubuh badan seseorang bergantung kepada tidur yang cukup. Apabila kita cukup tidur, badan kita berpeluang untuk memulihkan keadaan tubuh badan kita. Jika kita menghadapi masalah untuk mendapatkan tidur yang nyenyak, ia boleh memberi kesan yang buruk kepada kesihatan dan produktiviti kita.

Insomnia adalah gangguan tidur yang berlaku apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk tidur. Keadaan ini menyebabkan penghidap tidak mempunyai kualiti tidur yang cukup yang diperlukan oleh badan. Hal ini juga akan menyebabkan keadaan fizikal penghidap insomnia menjadi kurang cergas dan tidak dapat melakukan aktiviti seperti biasa pada keesokan harinya.

Tetapi apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah insomnia ini?

Langkah yang pertama ialah kurangkan kafein jika kita seorang peminat tegar kafein. Dengan mengurangi penggunaan kafein dalam kopi, terutama pada malam hari boleh mengatasi insomnia. Hal ini kerana, kafein boleh mengganggu proses tidur dan juga menghalang kita untuk mendapatkan tidur yang nyenyak. Sebaliknya, kita boleh mengamalkan minuman yang hangat seperti susu untuk membantu kita tidur dengan lebih cepat.

Kedua ialah elakkan untuk makan atau minum sebelum tidur. Kebanyakan orang mengalami kurang tidur adalah kerana makan lewat malam. Makan lewat malam boleh menyebabkan badan bekerja keras untuk mencerna makanan dan ia juga boleh menyebabkan keletihan kerana sistem penghadaman tidak mendapat rehat secukupnya pada waktu malam.

Ketiga ialah elakkan bermain gajet sebelum tidur. Hal ini kerana, cahaya biru dari skrin telefon bimbit atau peranti boleh menekan hormon melatonin, iaitu hormon yang mengawal jam biologi badan. Otak akan menangkap dan mentafsir cahaya sebagai tanda hari masih cerah, menyebabkan kita tidak mengantuk. Akibatnya, kita tidak boleh tidur pada waktu malam tersebut. Selain itu, bermain gajet juga boleh menyebabkan otak jadi lebih aktif. Kesan ini menjadikan otak lebih sibuk, dan akhirnya menyebabkan, mata kita menjadi lebih sukar untuk tidur.

Keempat ialah kurangkan tekanan (stres) sebelum tidur. Tekanan yang sukar ditangani boleh menjadi punca insomnia. Hal ini kerana, untuk mendapatkan tidur yang lena, otak dan badan mesti berada dalam keadaan tenang dan relaks. Dan apabila kita dalam keadaan tertekan, otak kita akan menjadi sangat aktif dan ini akan menyukarkan untuk menutup mata.

Kelima ialah mengurangkan masa tidur siang. Kebiasaannya, bagi orang yang mengalami insomnia, mereka biasanya akan memilih waktu siang untuk berehat. Walaupun tidur siang baik untuk kesihatan akan tetapi jika tempoh tidur itu terlalu lama, tempoh waktu tidur kita akan terganggu. Oleh itu, kita haruslah sentiasa mengutamakan tidur pada waktu malam kerana waktu yang sesuai untuk berehat sebaiknya adalah pada waktu malam.

Insomnia akan menjadi masalah yang biasa dialami terutamanya jika seseorang itu memandang rendah tentang masalah dan kesan yang akan dialami kepada penghidap insomnia. Untuk mengatasi masalah ini daripada berterusan ia haruslah bergantung kepada bagaimana seseorang itu sendiri menjaga tabiat tidur mereka.

AUTHOR:

SITI NAZURAH BINTI ZAID
PELAJAR SARJANA MUDA KOMUNIKASI MEDIA BAHARU
FAKULTI KEPIMPINAN DAN PENGURUSAN
UNIVERSITI SAINS ISLAM MALAYSIA (USIM)

 

Scroll to Top