Elak lakukan kesilapan mudah di separuh akhir

Elak lakukan kesilapan mudah di separuh akhir

sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mahu anak buahnya mengelak daripada melakukan kesilapan mudah apabila beraksi pada separuh akhir Piala Malaysia pada 18 Januari dan 2 Februari depan.

Legenda bola sepak Singapura itu, berkata ini kerana banyak kesilapan yang dilakukan pemainnya apabila dua daripada tiga gol disebabkan salah faham ketika seri 3-3 pada suku akhir kedua berdepan Perak FC, 22 Disember lalu.

“Namun, kami bernasib baik apabila mempunyai kelebihan satu gol ketika menang ke atas lawan pada suku akhir pertama di Manjung, sekali gus layak ke separuh akhir dengan agregat 4-3.

“Saya harap berada pada tahap ini (separuh akhir), semua pemain mempamerkan prestasi lebih baik dan dapat mengelak daripada melakukan kesilapan mudah,” kata pengendali berusia 62 tahun itu.

Mengulas kesilapan yang dilakukan anak buahnya ketika berdepan Perak 22 Disember lalu, Fandi tidak meletakkan kesalahan kepada penjaga gol, Azfar Arif Mohd Sukri yang melepaskan dua gol.

Katanya, kesilapan itu tidak kepada Azfar seorang tetapi kurang komunikasi antara penjaga gol dan pemain pertahanan menyebabkan jaringan dilakukan lawan.

Pada aksi separuh akhir nanti, Sri Pahang akan berdepan cabaran besar daripada Sabah FC yang layak selepas menyingkirkan Kuching City FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top