Elak provokasi, PAS beri amaran, minta hormat keluhuran undang-undang

Elak provokasi, PAS beri amaran, minta hormat keluhuran undang-undang

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak menggeruhkan keadaan demi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan menegaskan bahawa ia adalah penting untuk semua pihak menjujung keluhuran Perlembagaan seperti mana sudah termaktub seperti menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam.

Kata beliau, ia adalah bagi memastikan kestabilan politik dan ekonom negara terjamin.

“PAS menyeru semua pihak menghormati keputusan pengundi yang telah menunaikan tanggungjawab untuk memilih kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang berlangsung secara harmoni,”ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berharap agar semua pihak tidak mengeruhkan keadaan memandangkan Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Justeru, PAS menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara,”pintanya.

Terdahulu, Abdul Hadi memberi jaminan pihaknya tidak akan melaksanakan langkah-langkah menekankan mana-mana pihak khususnya di Sabah dan Sarawak sekiranya Perikatan Nasional membentuk kerajaan persekutuan baharu.

Scroll to Top