mohamadridzuan@hmetro.com.my
TERCETUS pelbagai polemik berkenaan kandungan bersifat sensitif dipaparkan menerusi drama tempatan kebelakangan ini sehingga menjadi perbualan hangat masyarakat.
Sesuai dan selaras dengan peranan penubuhannya, TV AlHijrah memainkan peranan mereka apabila memperkenalkan beberapa karya baharu merangkumi telefilem dan drama bersiri yang mengetengahkan elemen patuh syariah serta mempunyai nilai kemanusiaan.
Menariknya, empat naskhah istimewa ini dibawakan khas untuk tayangan premium di aplikasi penstriman digital AlHijrah Plus (AH+), sebelum disiarkan di saluran televisyen seminggu kemudian.
Ketua Pegawai Operasinya, Nadzariah Mohamed, berkata pemilihan naskhah ini melalui proses tapisan ketat oleh panel penasihat syariah bagi memastikan ia selari dengan matlamat stesen dalam menyediakan hiburan beretika tanpa mengorbankan kualiti penceritaan.
“Kami mahu membuktikan bahawa drama berunsurkan Islam dan patuh syariah juga mampu dihasilkan dengan kualiti tinggi, segar, serta berdaya saing untuk menarik minat penonton pelbagai lapisan usia, khususnya golongan muda di platform digital.
“Jika kita benar-benar mahu melakukannya dan mempunyai niat serta tujuan yang betul, perkara ini sebenarnya boleh dilakukan. Kita mahu membantu pengkarya supaya mereka dapat melihat dan menghasilkan drama Islamik yang patuh syariah, tetapi pada masa sama masih boleh menjadi popular atau ‘viral’.
“Ia memerlukan kerjasama antara pelakon, penulis skrip, pengarah dan stesen televisyen. Apabila semua pihak mempunyai niat dan objektif sama, insya-Allah drama atau garis panduan drama patuh syariah boleh dihasilkan,” katanya.
Empat judul mengangkat tema keadilan, misteri, taubat, dan kemanusiaan itu ialah Bersuara Tapi Tak Didengar, Mistik Bilik Mayat, Ghost Buskers dan Azan Terakhir Seorang Banduan yang ditayangkan awal September hingga Oktober ini.
Nadzariah mengakui realiti pasaran drama ketika ini agak mencabar untuk mendapatkan naskhah yang benar-benar dibangunkan berlandaskan konsep patuh syariah.
Bagaimanapun katanya, menjadi hasrat pihaknya untuk membimbing dan membantu pengkarya menghasilkan drama Islamik berkualiti serta memenuhi konsep ini.
“Memang dalam pasaran sekarang agak sukar untuk mendapatkan drama yang benar-benar dibuat dengan konsep patuh syariah. Kebanyakan drama popular mempunyai elemen seperti kecurangan, isu rumah tangga atau konflik kontroversi.
“Sekarang kita lihat banyak drama mengetengahkan isu seperti kecurangan, ‘penyondol’, moral dan pelbagai isu sensitif. Jadi, kami terpanggil untuk menyediakan drama yang mempunyai nilai dan kandungan yang segar.
“Kita mahu penonton melihat bahawa drama patuh syariah juga boleh mempunyai nilai, cerita masyarakat dan jalan cerita menarik. Ia bukan sekadar drama yang terlalu ‘flat’. Pada masa sama, terdapat batas-batas tertentu yang perlu dipatuhi,” ujarnya.
Baginya situasi ini menjadi cabaran kepada pengkarya tanah air untuk menggunakan kreativiti mereka. Patuh syariah tidak sepatutnya diterjemahkan sebagai membuang konflik daripada cerita.
Sebaliknya, konflik masih boleh wujud atau diadakan, namun cara ia dipersembahkan perlu lebih kreatif dan tidak menjadikan perkara yang dilarang sebagai bahan tarikan utama.
“Pihak stesen sendiri tidak mengambil pendekatan menerima bulat-bulat setiap naskhah dihantar, sebaliknya proses semakan dilakukan sejak peringkat awal.
“Sebab itu setiap drama atau skrip dihantar akan dinilai oleh panel dan unit patuh syariah untuk menentukan kesesuaiannya serta mengenal pasti sama ada terdapat unsur kontroversi atau perkara yang perlu diubah.
“Semasa proses pitching lagi, kita sudah nyatakan bahawa kita mahu terlibat dalam proses penyediaan skrip akhir dan naskhah akhir. Jadi, ia memang merupakan satu bentuk kerjasama.
“Ini bukan bermaksud kita menerima bulat-bulat skrip yang dihantar. Kita mempunyai garis panduan dan DNA stesen. Dalam masa yang sama, kita juga mahu menyajikan kandungan yang pelbagai. Stesen ini bukan hanya mengenai ceramah dan ustaz; kita juga mahu mempunyai telefilem dan drama.
“Dengan kerjasama pengarah, penerbit, penulis dan pelakon, Alhamdulillah proses ini dapat dipermudahkan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Jabatan Kandungan TV AlHijrah, Zulkarnaen Mokhtar berkata, inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi penyiaran stesen itu untuk menyediakan alternatif kandungan fiksyen berteraskan nilai Islam kepada penonton tempatan.
Menurutnya, drama bukan sekadar ruang untuk bercerita atau menghiburkan, tetapi juga wadah untuk membawa penonton melihat semula realiti di sekeliling mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd
