Inisiatif 'pulih' rakaman audiovisual lama untuk tatapan generasi masa depan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

MENYEDARI pentingnya menyimpan bahan sejarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tampil melakukan projek proses pemulihan bahan rakaman audiovisual lama yang dialih kepada digital.

Inisiatif dikenali filem restorasi koleksi audiovisual khazanah warisan negara ini dilakukan FINAS dalam tempoh 96 minggu sejak tahun lalu bagi memelihara 150 jam koleksi dokumentari dan dokudrama.

Pakar pemulihan bahan audiovisual FINAS, Nyoh Austine Sidai berkata proses dilakukan bermula dengan saringan dan pemeriksaan fizikal bagi mengenal pasti tahap serta jenis kerosakan pada setiap bahan rakaman audiovisual itu.

“Ia penting kerana bahan audiovisual lama yang dipulihkan itu adalah terbitan pada era 1940-an sehingga 1970-an. Jadi, memang perlu betul-betul diteliti kerana ada rakaman yang rosak dan berkulat.

“Proses pemulihan juga dibuat mengikut kesesuaian secara fizikal sebelum diimbas pada resolusi 4K yang teknikal untuk memastikan rakaman boleh ditonton jelas semula,” katanya.

Terdahulu, turut dipertontonkan tayangan tiga karya lama iaitu Tunku Visit Sabah, Timeless Temiar dan Tongkat Hitam: Harta Buruan yang sudah siap dipulihkan dan dialih kepada digital.

Diadakan juga sesi langsung perbincangan karya dokumentari dan dokudrama itu menerusi forum bersama Nyoh Austine dan tokoh animasi, Hassan Muthalib sebagai ahli panel.

Menurut Nyoh Austine, menerusi tayangan karya berkenaan dapat dilihat pemulihan digital dibuat pada imej, audio dan warna, selain mengekalkan bahan asal untuk rujukan.

Katanya, tindakan FINAS terbabit dalam proses pemulihan dan dialih kepada digital itu penting kerana koleksi rakaman audiovisual diselamatkan itu adalah khazanah warisan negara yang harus dipelihara lebih-lebih lagi dokumentari sejarah.

Bagi Hassan pula, sebagai orang lama dalam industri menyifatkan bahan rakaman audiovisual terdahulu perlu dipulihkan sebaiknya untuk menjadi rujukan sejarah generasi muda akan datang.

“Sebagaimana karya dokumentari dan dokudrama ditayangkan itu adalah peninggalan sejarah berharga yang pernah diterbitkan untuk kita terus ingat perjuangan pemimpin negara terdahulu.

“Saya gembira melihat rakaman audiovisual lama ini dapat dipulihkan dan dialih kepada digital untuk bertahan lama. Boleh dikatakan imej, audio dan warna pada rakaman juga kekal baik.

“Jadi, bila ditonton pun rasa seronok sebab semua aspek (imej, audio dan warna) masih jelas. Maka, untuk dijadikan rujukan juga mudah difahami kisahnya kerana gambar cantik dan audio dalam keadaan baik,” ujarnya.

Hashim yang berpengalaman selama lima dekad dalam seni komersial mendapat jolokan ‘Bapa Animasi Malaysia’ pernah mengarah filem animasi pertama, Silat Legenda pada 1998.

Bagi animasi televisyen pula, Hashim pernah menghasilkan Hikayat Sang Kancil, Hikayat Sang Kancil dan Monyet, Gagak Yang Bijak, Singa Yang Haloba, Arnab Yang Sombong serta Hikayat Sang Kancil dan Buaya.

Turut hadir, pada acara Sesi Tayangan Khas dan Apresiasi Filem Restorasi Koleksi Audiovisual Khazanah Warisan Negara di Menara FINAS itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top