PETALING JAYA: Kerajaan memperluaskan perlindungan subsidi bil elekrik daripada 600 kilowatt jam (kWj) kepada 800kWj sebulan, berkuat kuasa mulai September hingga 31 Disember ini.
Langkah itu diambil sebagai tindakan segera bagi menangani tekanan hidup rakyat ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), caj peruncitan dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
“Sekalung penghargaan khususnya kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan Suruhanjaya Tenaga atas peranan mereka dalam memungkinkan langkah ini diambil dalam kadar segera.
“Keadaan jerebu serta cuaca yang lebih panas mutakhir ini telah mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah, menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600kWj dan menyebabkan kenaikan bil yang luar biasa,” katanya semalam.
Dalam pada itu, kenaikan bil yang sedang dirasai oleh pengguna yang menggunakan tenaga elektrik lebih 600kWj sebulan merupakan sebahagian daripada krisis tenaga akibat konflik di Asia Barat.
Ketegangan geopolitik yang menjejaskan bekalan tenaga global sejak Mac lalu kini mula memberi kesan kepada sektor tenaga lain termasuk gas asli dan arang batu di negara ini.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkembangan itu merupakan kesan tertangguh (lagging effect) yang sebelum ini memberi kesan ketara hanya terhadap pasaran petrol global.
“Bagi pengguna yang menggunakan lebih 600kWj sebulan, impak daripada kesan gangguan bekalan tenaga global itu kita dapat lihat sekarang.
“Seterusnya ketika ini kita dapat lihat kesan itu sudah merebak kepada bekalan tenaga yang lain termasuk dari segi harga gas asli, arang batu dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Penyerahan Cek Cura Sumbangan Naik Taraf Klinik Kesihatan Dalam Parlimen Johor Bahru semalam.
Menurut Akmal Nasrullah, mesyuarat khas yang diadakan semalam antara lain bagi menilai, menimbang dan mengambil maklum perkara yang dihadapi rakyat susulan perkembangan berkenaan.
“Cuma sudah pasti mekanisme yang mana Perdana Menteri menilai itu, mungkin ada ruang yang lain kita boleh teliti,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan struktur tarif semasa, majoriti pengguna yang menggunakan elektrik di bawah 600kWj sebulan tidak menerima kesan langsung daripada perubahan harga bekalan atau kos bahan api.
“Berdasarkan kaedah tarif yang ada ketika ini, majoriti pengguna bawah 600kWj sebenarnya tidak merasa impak,” katanya. – UTUSAN
