Elfira Loy nafi tinggalkan dunia lakonan, tapi beri fokus urus anak

Elfira Loy nafi tinggalkan dunia lakonan, tapi beri fokus urus anak

Kuala Lumpur: Pelakon Elfira Loy, 32, menafikan melupakan dunia seni yang mengangkat namanya, sebaliknya keputusan mengurangkan aktiviti lakonan dibuat demi memberi ruang kepada tanggungjawab sebagai seorang ibu.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri berkata, keutamaannya ketika ini adalah memastikan keperluan dua cahaya mata berusia tujuh dan empat tahun mendapat perhatian sepenuhnya.

Menurutnya, dia bukan bersikap terlalu memilih naskhah, tetapi mahu memastikan kehidupannya lebih seimbang sebelum kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Saya bukan terlalu selektif, tetapi keutamaan saya sekarang adalah anak-anak. Alhamdulillah, jadual saya kini lebih teratur dan saya boleh menguruskan masa dengan baik.

“Kalau ada tawaran sesuai, mungkin saya akan mula kembali berlakon,” katanya ketika ditemui pada acara Blossom Rally Pickleball 2026 di Tomaz Pickleball Club, di sini, baru-baru ini.

Pelakon drama Tentang Bulan The Series itu mengakui bukan mudah untuk memperlahankan rentak dalam bidang lakonan yang diceburinya sejak kecil.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu dibuat dengan hati terbuka kerana mahu menikmati pengalaman membesarkan anak-anak yang masih kecil.

“Sebenarnya memang sayang juga apabila mengurangkan aktiviti lakonan. Tetapi kita perlu ada keutamaan kerana tidak mampu mendahulukan semua perkara dalam satu masa.

“Saya sudah lebih 10 tahun berada dalam bidang ini, tetapi pengalaman menjadi seorang ibu masih baharu.

“Buat masa ini saya mahu menghargai fasa itu dahulu. Apabila saya benar-benar sudah stabil sebagai ibu, mungkin saya akan membuka semula peluang untuk bekerja,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top