Elly Mazlein tampil imej baharu, misi kemanusian GSF menginsafkan

Elly Mazlein tampil imej baharu, misi kemanusian GSF menginsafkan

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keputusan pengacara terkenal, Elly Mazlein tampil dengan imej baharu iaitu berhijab ternyata mendapat pujian dan reaksi positif daripada peminat.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, muncul mengenakan hijab ketika mengacarakan pentas akhir Kilauan Emas 2025 di Royale Theatre, Shah Alam, malam tadi.

Menerusi Instagramnya, rata-rata peminat melahirkan kegembiraan dengan penampilan terbaru Elly yang turut dikenali dengan panggilan mesra, Kak Lina Pom Pom.

Malah, ada yang mengharapkan agar Elly kekal konsisten dengan imej terbarunya berkenaan.

“Aku selalu tertanya-tanya, kak iamellymazlein ini baik hati, cakap pun lembut, tiada kontroversi, jaga suami pun baik.

“Tapi kenapa dia tak bertudung lagi? Malam tadi Allah jawab pertanyaan aku,” tulis salinaa6536.

“Kak Lina nampak cantik bila pakai tudung malam ini,” tulis ladydynamics97.

“Subhanallah, cantik kak Lina pakai tudung… manisnya,” tulis yun.s pula.

Sementara itu Elly yang ditemui pada sidang media selepas program selesai berkata, misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menimbulkan keinsafan mendalam terhadap dirinya.

“Dalam berhijab, tiada istilah cuba. Apa yang boleh saya cakap, saya mahukan yang terbaik untuk diri saya. Sudah semestinya kita harap orang ramai berikan doa yang baik-baik,” katanya.

Menurutnya, perubahan positif ini turut disambut dengan kucupan restu daripada suami tercinta, Mohamad Azlan Che Nuh.

“Sudah tentu suami seronok, dia cium dahi saya dan sangat bahagia. Terima kasih sayang,” luahnya sambil mengukir senyuman.

Dalam pada itu, Elly menyifatkan pengorbanan dan perjuangan sukarelawan GSF sebagai jihad luar biasa yang wajar dijadikan teladan rakyat Malaysia.

“Kadang-kadang jihad seseorang membuatkan kita rasa insaf. Hebat rakan bersama GSF, perjuangan mereka harus menjadi ikutan untuk kita semua.

“Terima kasih rakyat Malaysia, satu dunia bersama mereka. Harap kita semua sama-sama kuat dan sabar menanti kepulangan mereka selamat sampai ke tanah air. Terima kasih aktivis atas keberanian anda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top